Yantzen
Yantzen
Ridzuan Abdul Rahman

 

Shah Alam: "Saya sendiri tidak tahu apa masalahnya dan apa yang terbaik untuk saya. Saya bergantung kepada ubat-ubatan tradisional serta bertafakur.

"Selain itu, saya berserah kepada Allah agar beri yang terbaik. Orang nak kata apa pun katalah. Sebab keadaan saya dah begitu. Saya minta kepada Allah agar saya kuat berdepan apa juga dugaan,". 

Demikian kata penyanyi rock popular,

Yantzen Juniawan, 65, mengulas keadaan kesihatannya yang masih dihantui penyakit misteri.

Penyanyi lagu Insan yang menetap di Hulu Langat ini berkata, serangan penyakit misteri ini berlaku hanya pada sebelah malam sejak tahun lalu. 

"Ia mengakibatkan kesakitan di bahagian kaki, sekali gus menyukarkan saya untuk tidur. Rasa sakit itu secara kebiasaannya datang secara tiba-tiba sebelum waktu tidur. 

"Namun saya tetap memandang sudut positif dengan menganggapnya sebagai ujian daripada Yang Maha Esa. Saya mengalami sakit itu dalam tempoh 24 jam selama tiga bulan beturut-turut dengan rasa sakit di bahagian kaki.

"Sekarang ini masih lagi ada rasa kebas. Sakit ini susah nak cakap sebenarnya sebab kalau mahu kata gout pun bukan," katanya ditemui pada sidang media konsert Semangat Zaman Ulang Tahun Ke-20 di Permai Golf & Country Resort, di sini, hari ini.

Penyanyi kumpulan Rusty Blade ini berkata, dia memotivasikan diri dengan menganggap ini adalah ujian daripada Allah dan berikhtiar mendapatkan ubat atau rawatan secara tradsional.

"Memandangkan usia saya sudah menginjak 60-an, saya amat bersyukur masih lagi diberikan tenaga walaupun saya ada sakit sebenarnya. Bagaimanapun, sakit saya ini boleh dikatakan semakin pulih," katanya.

Menurutnya, dia lebih memilih untuk bercampur dengan orang ramai supaya tidak cenderung untuk berfikir secara berlebihan mengenai sakit yang dialaminya itu.

"Kadang-kadang kita sebagai manusia boleh berimaginasi terlalu berlebihan, jadi saya terpaksa bercampur dengan orang ramai atau menyertai mana-mana acara. 

"Apabila saya buat semua itu, kehidupan saya tidak menjadi huru-hara. Saya hanya minta kepada Allah supaya sentiasa berikan yang terbaik," katanya.

Pada masa sama, peserta program realiti, Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu menegaskan, dia tidak mahu ambil pusing dengan tanggapan kurang baik daripada orang ramai mengenai penyakitnya itu.

"Sekarang ini saya masih lagi dalam proses perubatan untuk diri sendiri. Walaupun ada ramai yang melemparkan kata-kata tidak enak apabila melihat keadaan saya ketika ini.

"Tapi, tidak dinafikan masih ada yang sentiasa bersama. Pada saya, itulah sifat manusia dan kita semua perlu terima," katanya.

Yantzen bakal menjayakan konsert sempena ulang tahun ke-20 album Semangat Zaman yang diterbitkan pada 2004 di Zepp Kuala Lumpur pada 29 September depan.

Konsert berkenaan turut menampilkan artis-artis rock legenda tanah air seperti Datuk Nash dari kumpulan Lefthanded, Joey (Bumiputera Rockers), Aris (Ariwatan), Jatt (Black Dog Bone), Rahmad (Mega), Muss dan Bandi (Amuk).

Mengulas mengenai pembabitannya dalam konsert anjuran Semangat Zaman Music Entertainment itu, Yantzen berkata, dia hanya mahu memberikan persembahan terbaik kepada peminat.

"Saya hanya berserah kepada Allah mengenai keupayaan untuk menjayakan konsert berkenaan. Bagaimanapun, saya tetap akan cuba untuk berikan yang terbaik.

"Saya juga bersyukur apabila beberapa minggu lagi saya akan menjayakan persembahan lain pula. 

"Jadi, rezeki saya untuk terus bertapak dalam industri muzik ini masih ada. Mudah-mudahan tahun ini memberi makna yang besar bagi saya," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 7:02 PM