IDZU menjayakan persembahan di Konsert Saujana Sempena 25 Tahun.
IDZU menjayakan persembahan di Konsert Saujana Sempena 25 Tahun.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Saya terbuka dengan kecaman dan kritikan yang mana masyarakat kita masih lagi cuba membiasakan diri dengan bentuk fesyen sebegini bagi irama nasyid.

"Ini juga merupakan cabang seni dan siapa tahu, mungkin saya juga dapat menarik minat orang untuk mendengar nasyid. Ibarat saya berdakwah menerusi fesyen."

Demikian ulas bekas vokalis kumpulan nasyid Saujana, Dr Idzu Baharin apabila tampil menggayakan busana beropol pada bahagian lengan ketika konsert sulung Saujana sempena 25 tahun.

Bagi Idzu atau nama sebenarnya, Khairul Idzwan Baharin, setiap manusia dikurniakan karakter berbeza dan bersedia dikecam kerana fesyen yang diperagakan itu.

"Sebenarnya, sewaktu saya cuba menterjemahkan konsep pakaian itu, saya selitkan elemen muzik arus perdana. Ini supaya muzik nasyid tidak hanya dilihat dengan skop yang sama saja.

"Genre nasyid ini lebih besar dari apa yang dibayangkan oleh segelintir orang. Apatah lagi, apabila cuba untuk mendalami arus perdana, banyak perlu dieksperimentasi.

"Siapa tahu, mereka yang belum pernah mendengar nasyid atau tidak mendengar nasyid boleh tertarik menerusi fesyen. Apatah lagi, ini adalah sebahagian daripada seni itu sendiri.

"Lagipun takkan hanya dilihat sama saja seperti 25 tahun dulu kan? Jadi saya sekadar ingin mencuba sesuatu yang baru," katanya.

Konsert Saujana 25 Tahun ini menampilkan konsep persembahan yang unik menerusi gabungan lagu ketuhanan dengan irama tradisional, hasil kolabrasi Saujana dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dibawah pimpinan Yazid Zakaria.

Dalam pada itu, konsert ini turut dibantu rakan rasmi seperti Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Istana Budaya Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), AnNadi serta Zepp Kuala Lumpur.

Konsert ini turut menampilkan artis jemputan seperti Nazrey Johani, Ustaz Nabil, kumpulan Awla dan Andika.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 11:45 AM