KONSERT Saujana 25 Tahun bakal menggabungkan semua anggota asal.
KONSERT Saujana 25 Tahun bakal menggabungkan semua anggota asal.
Ramlah Zainal


SEMPENA meraikan ulang tahun ke-25 dalam industri muzik, kumpulan nasyid Saujana bakal menjayakan konsert berskala besar buat peminat setia mereka, sekali gus mengimbau zaman kegemilangan mereka lebih dua dekad lalu.

Lebih bermakna, konsert ini bakal menggabungkan semua anggota asal kumpulan itu berkongsi pentas sempena Konsert Saujana 25 Tahun yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 5 Mac depan.

Menurut anggota kumpulan Saujana, Mohammad Suffian Amrin, idea asal untuk menganjurkan konsert itu tercetus ketika mereka mengadakan persembahan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) yang juga lokasi penubuhan kumpulan itu.

"Waktu itu ada program alumni di sekolah dan ada alumni lain yang bertanya mengenai konsert Saujana.

"Pada mulanya kami merancang buat persembahan kecil seperti majlis minum petang, tetapi hikmah pandemik Covid-19 dan persahabatan terjalin sejak di bangku sekolah mencetuskan konsert penganjuran konsert ini.

"Sudah lama kami berhasrat mengadakan konsert berskala besar ini, tetapi kesibukan dengan kerjaya hakiki masing-masing menjadi faktor penghalang sebelum ini.

"Apa pun kami sangat bersyukur kerana mendapat Dana Kandungan Digital (DKD) daripada pihak kementerian yang membantu anak seni seperti kami bergiat aktif," katanya.

Selain Mohammad Suffian, dua lagi anggota Saujana yang masih bergiat aktif ialah Azalinor Abdul Rahman dan Ahmad Zuhaidi Abd Aziz.

Manakala empat lagi anggota asal Saujana yang akan menyertai konsert ini ialah Dr Khairul Idzwan, Dr Faizul Hizal Ghazali, Mohd Hakimi Harun dan Wan Najran Wan Noh.

Mengulas mengenai konsert, kata Mohammad Suffian, mereka akan menyampaikan rangkaian 20 lagu popular kumpulan itu pada konsert itu.

"Antaranya Sepohon Kayu, Keluarga Bahagia, Suci Sekeping Hati, Usia Antara Masa, Bulan Bintang dan banyak lagi. Kami juga ada segmen khas dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) bawah pimpinan Yazid Zakaria kerana konsep persembahan adalah gabungan lagu ketuhanan Saujana dan irama tradisional," katanya.

Ditanya persiapan pula, kata Mohammad Suffian lagi, pihaknya juga berasa agak risau kerana konsert Saujana akan bertembung konsert artis luar negara seperti Blackpink.

"Namun, kami cuba berfikiran positif kerana percaya genre nasyid juga ada peminat tersendiri. Kebanyakan peminat kami juga sudah berkeluarga dan mereka boleh menonton konsert ini bersama anggota keluarga mereka," katanya.

Dr Khairul Idzwan atau Dr Idzu pula berkata, dia juga menyedari masa yang agak suntuk untuk membuat persiapan dan latihan kerana empat daripada anggota Saujana memiliki kerjaya hakiki.

"Kami akan menggunakan platform panggilan video dan media sosial dan sebagainya untuk berkomunikasi. Pada masa sama, bila perlu kami akan berjumpa untuk berbincang mengenai persiapan konsert ini," katanya.

Konsert ini juga akan menampilkan artis jemputan seperti Ustaz Nazrey Johani, kumpulan Awla, Andika serta Ustaz Nabil.

Mengimbas latarnya, Saujana pernah menghasilkan lapan album seperti Saujana (1997), Saujana II (1999), Kembara Cinta (2000), Rahsia (2002), Lima Bintang (2004), Jalan Sehala (2005), Nota Cinta (2010) dan Aku Cinta Allah (2013).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 6:31 AM