JUHARI bersama barisan penyanyi legenda 60-an pada sidang media yang berlangsung di IB.
JUHARI bersama barisan penyanyi legenda 60-an pada sidang media yang berlangsung di IB.
Ramlah Zainal

Konsert Lagenda 60-an bersama Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) yang menampilkan barisan penyanyi legenda Pop Yeh Yeh di pentas berprestij Istana Budaya (IB) mengembalikan nostalgia dan kegemilangan irama muzik itu.

Konsert yang dianjurkan buat kali keempat dan berkonsepkan muzik era 60-an ini berlangsung pada 26 dan 27 Oktober ini, jam 8.30 malam.

Lebih menarik, konsert ini menampilkan barisan bintang legenda tempatan seperti Datuk A Rahman Hassan, Datuk Jeffrydin, Datuk L Ramli, A Rahman Onn, J Sham, Maria Bachok, S Mariam, A Rozaini serta Abon sebagai pengacara yang merancakkan majlis.

Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, pihaknya menampilkan konsert Legenda 60-an kerana mahu mengangkat irama 60-an ke pentas IB supaya ia tidak hilang ditelan zaman, sekali gus menjadi acara tahunan .

“Kami yakin irama 60-an masih ada peminat tegar berdasarkan sambutan konsert terdahulu. Bermula dengan pementasan

Teater Muzikal Suzana @60 pada 2006, konsert irama 60-an terus mendapat sambutan hangat daripada peminat apabila dipentaskan di IB.

“Kami tidak mahu irama ini mati begitu saja jika tiada penyanyi pelapis yang meneruskan kesinambungan penyanyi senior.

“Justeru, selepas penampilan Aiman Tino dalam konsert 60-an sebelum ini, kami merancang untuk menampilkan penyanyi popular seperti Faizal Tahir untuk bergabung dengan penyanyi 60-an pada penganjuran konsert tahun depan,” katanya.

Juhari ditemui pada sidang media Konsert Lagenda 60-an bersama OTM yang berlangsung di IB, di sini, baru-baru ini.

DATUK Jeffrydin turut membuat persembahan.
DATUK Jeffrydin turut membuat persembahan.

Mengenai pemilihan penyanyi pula, kata Juhari, pihaknya menampilkan barisan legenda tempatan terlebih dulu.

“Jika nak diikutkan kami mahu menampilkan lebih ramai penyanyi legenda seperti A Halim, tetapi ada yang kurang sihat dan tidak aktif untuk mengadakan persembahan.

“Kami tampilkan penyanyi Maria Bachok kerana dia sudah berkahwin dengan rakyat Malaysia dan kini menetap di sini. Pemilihan A Rozainie dalam konsert ini kerana dia klon penyanyi legenda A Ramlie dan boleh menyampaikan lagu penyanyi itu dengan baik,” katanya.

Berkongsi aspek persembahan pula, kata Juhari, konsert itu akan diiringi persembahan muzik secara langsung dan penari dari IB iaitu OTM dan Artistari.

“Penonton bakal disajikan dengan 42 lagu malar segar iaitu Peracun Kalbu, Siti Haida, Ayahku Kahwin Lagi, Oh Fatimah, Sinar Hidupku, Semoga Berjaya dan banyak lagi.

“Tidak ketinggalan, lagu dendangan artis antarabangsa seperti

She Loves You (The Beatles) dan Dekho Abto (Janwar).

“Pada masa sama, kami akan menghias pentas IB dengan konsep dan dekorasi irama 60-an untuk menghangatkan lagi suasana.

“Penonton yang hadir mengikut tema irama 60-an juga akan menerima hadiah istimewa,” katanya.

Tiket berharga RM50, RM100 dan RM150 mula dijual pada 28 September lalu menerusi www.ilassotickets.com. Keterangan lanjut boleh layari www.istanabudaya.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 2:00 PM