SALIH hidup bahagia bersama tiga isteri.
SALIH hidup bahagia bersama tiga isteri.
Syafil Syazwan Jefri


Isu poligami adalah satu isu besar buat sesetengah individu, namun tidak dinafikan mungkin hanya hal kecil buat mereka yang lain.

Merujuk kepada Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), poligami membawa erti amalan beristeri lebih daripada satu orang pada masa sama.

Berkait dengan budaya dan agama, ia adalah satu topik sensitif untuk dibicarakan, bahkan dianggap tabu oleh sesetengah pihak.

Dalam industri seni hiburan tanah air, selebriti juga tidak terlepas daripada terpalit kontroversi walaupun poligami itu bukan satu perkara yang salah dalam agama.

Berikut, lima selebriti tanah air yang berpoligami dan dapat hidup dengan bahagia.

Pelakon, pelawak dan pengacara, Salih Yaacob menjadi antara selebriti yang mengamalkan poligami bersama tiga isteri, Norlizah Mamat, Norfara Wahida Sulaiman dan Samihah Sheikh Eli.

Bahagia tanpa sebarang isu yang heboh, Salih hidup bahagia bersama tiga isterinya menerusi ketiga-tiga perkahwinan itu, dia dikurniakan 13 anak serta enam cucu.

ASHRAF bersama isteri.
ASHRAF bersama isteri.

Pelakon, Ashraf Muslim juga tidak terlepas daripada terpalit dengan kontroversi saat mengumumkan mengenai keputusannya untuk berpoligami.

Namun, Ashraf membuktikan bahawa kehidupan berpoligami juga dapat dijalankan dengan bahagia bersama dua isteri, Wan Sakinah Wan Saburi dan Noor Dayana Lokman.

Lama tidak mendengar nama penyanyi, Salima Habibi atau Salima AF. Dia juga antara selebriti tanah air yang membuktikan bahawa poligami bukan satu permasalahan.

Bahkan hubungannya dengan isteri pertama kepada suaminya, Syed Abd Kadir Syed Hussin Aljoofre juga baik. Hasil perkongsian hidup bersama, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

ZARINA bahagia sebagai isteri kedua.
ZARINA bahagia sebagai isteri kedua.

Pelakon dan usahawan, Zarina Zainuddin juga antara yang berjaya membuktikan kehidupan sebagai isteri kedua kepada suami, Datuk Seri Abu Raihan Wan Jaafar mampu bertahan sehingga 25 tahun.

Perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata. Menariknya, Zarina pernah berkongsi mengenai bagaimana dia bertemu isteri pertama Abu Raihan, Datin Seri Noorhashimah Mohd Noor untuk memohon restu.

Menurut Zarina, dia mengingatkan golongan isteri supaya mempunyai kesabaran tinggi dalam menangani pelbagai isu rumah tangga.

"Kalau benar kita sayang, terima dia seadanya sebab seorang suami lebih menghargai yang pertama, yang susah senang dengannya dan teman mendengar yang setia.

"Kita ini perempuan... merendah dirilah. Suami lebih kasih pada insan yang memahaminya berbanding insan yang asyik melawan cakapnya.

"Wanita itu cantik bila dia pandai menghargai suami. Cinta selamanya sehingga kematian memisahkan," katanya.

Aura pelawak Rahim bukan sahaja mampu mencuit hati peminat, bahkan turut mencuri perhatian dua isterinya, Norazlin dan Lily.

Kedua-duanya berbahagia bersama suami kesayangan mereka, bahkan pernah berlakon bersama dalam sketsa pendek dalam satu program masakan.

RAHIM bahagia bersama dua isteri.
RAHIM bahagia bersama dua isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 6:23 AM