AERIL bersyukur Aedy, Nadhir serta Meerqeen beri ‘lampu hijau’ untuk terbabit dalam filem terbitannya, Klepet.
AERIL bersyukur Aedy, Nadhir serta Meerqeen beri ‘lampu hijau’ untuk terbabit dalam filem terbitannya, Klepet.
Najiy Jefri


TIGA pelakon popular, Aedy Ashraf, Nadhir Nasar dan Meerqeen disatukan buat pertama kali dalam karya terbitan pasangan selebriti, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal berjudul Klepet.

Kehadiran tiga anak muda ini juga dijangka bakal mencetuskan fenomena tersendiri selepas menerima pelawaan syarikat produksi Respected Citizen Sdn Bhd.

Mengakui ketiga-tiga bintang muda ini memiliki jadual kerja yang padat, namun Aeril tidak menyangka apabila mereka bersetuju menerima pelawaan untuk terbabit dalam filem itu.

"Produksi ambil masa sekitar tiga bulan untuk 'memujuk' barisan pelakon ini. Jadual mereka yang padat menjadi cabaran utama buat kami.

"Mujur mereka bersetuju terbabit dalam filem ini. Aedy antara pelakon terawal yang memberi 'lampu hijau' memandangkan dia kawan lama saya. Cuma Nadhir dan Meerqeen saja saya tidak kenal secara rapat.

"Alhamdulillah, akhirnya dapat kumpulkan mereka bertiga dalam sebuah filem, termasuk Hun Haqeem," katanya pada Majlis Pra-Pelancaran Filem Klepet di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Aeril, sebagai penerbit dia mengaku memerlukan barisan pelakon yang mempunyai nilai komersial untuk menarik penonton ke pawagam.

"Sebab itu kami perlukan nama besar untuk tujuan berkenaan. Kami nak jual filem ini, tak kan nak buat yang terlalu artistik. Kami juga dapat bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Jadi, kami pilih untuk menerbitkan sebuah filem komersial.

"Saya percaya barisan pelakon ini sudah teliti terlebih dahulu naskhah filem yang akan dilakonkan," katanya.

BAHAGIA melayari bahtera rumah tangga dengan Wawa. FOTO Hazreen Mohamad
BAHAGIA melayari bahtera rumah tangga dengan Wawa. FOTO Hazreen Mohamad

Respected Citizen Sdn Bhd sebelum ini pernah menghasilkan Sabda Kekasih dan terbaharu filem Abnomal: BUAS bakal menemui penonton di pawagam pada pertengahan tahun depan.

Dalam pada itu, Klepet yang mengangkat tema aksi komedi arahan Indra Putra sudah memulakan penggambaran bulan ini dan filem itu dijangka ditayangkan sekitar Julai tahun depan.

Penggambaran dijalankan sepenuhnya di Melaka dengan kerjasama kerajaaan negeri selain turut mendapat dana pelengkap Finas melalui Dana Kandungan Digital (DKD).

Selain Aedy Ashraf, Meerqeen dan Nadhir, Klepet turut dibintangi Joey Daud, Adlin Aman Ramlie, Namie, Eric Fauzi serta penampilan wajah baharu seperti Arfie Shah dan Darina Porhun.

'Hanya maut memisahkan kami'

Dalam pada itu, Aeril turut diminta mengulas mengenai isu poligami dalam kalangan selebriti dan pempengaruh yang mendapat liputan meluas media ketika ini.

Bahagia melayari bahtera rumah tangga dengan Wawa, Aeril bagaimanapun memberi jaminan tidak aka

n sesekali menghancurkan kepercayaan Wawa terhadap dirinya.

"Saya sudah berjanji pada diri yang saya tidak akan buat perangai sebab apa yang saya ada sekarang sudah cukup.

"Saya dikurniakan empat cahaya mata dan seorang isteri serta perniagaan yang baru bermula. Kalau saya buat hal, saya bimbang apa yang saya usahakan selama ini jadi sia-sia dan musnah sekelip mata. Lagipun bukan senang nak kecapi semua ini.

AERIL (tiga dari kanan) bersama barisan pelakon yang membintangi filem Klepet.  FOTO Hazreen Mohamad
AERIL (tiga dari kanan) bersama barisan pelakon yang membintangi filem Klepet. FOTO Hazreen Mohamad

"Bagi saya kehadiran orang ketiga ini bukan membahagiakan, tapi lebih memeningkan kepala," katanya.

Dalam masa sama, Wawa turut memberitahu, tiada wanita yang akan memberi 'lampu hijau' dengan mudah apabila suami ingin berkahwin dua.

"Mana ada wanita yang bersetuju, tidak ada. Bagi saya, kalau lelaki itu tidak memberi ruang atau peluang perkara itu (poligami) tidak akan berlaku.

"Jadi, jangan beri peluang kepada suami mencari lain seperti selalu periksa telefonnya dan tanya dia mahu ke mana.

"Biar dia nak cakap kita 'queen control' sekali pun, tidak mengapa. Bagi saya, dua-dua perlu main peranan," katanya.

Aeril berkata, dia dan Wawa tidak pernah berbincang mengenai perkara itu kerana yakin ia tidak akan berlaku.

"Kami tak pernah bincang sebab saya yakin perkara ini tidak berlaku. Saya selalu cakap kepada diri, hanya maut yang memisahkan kami.

"Saya bukan nak cakap besar, tapi dalam hal ini pilihan atas diri sendiri. Kalau saya cakap begini, tiba-tiba Tuhan nak uji saya pun tak tahu. Cuma untuk kami banyak hal lain yang kami boleh fikir dan bincang.

"Alhamdulillah saya gembira dengan kehidupan yang saya nikmati sekarang. Kalau saya buat hal, saya tiada masa nak fikir mengenai ini semua (kerja). Saya akan fikir mengenai isteri baru," katanya berseloroh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 7:03 AM