Oleh Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) merekodkan 859 permohonan untuk berpoligami di negeri itu sejak 2019 sehingga tahun lalu.

Menurut rekod Jakess juga, sejumlah 1,617 pemohon yang memohon untuk mengesah dan mendaftarkan poligami selepas sudah bernikah.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, statistik itu menunjukkan pasangan yang berpoligami tanpa kebenaran adalah satu kali ganda lebih banyak berbanding jumlah pasangan yang memohon kebenaran poligami.

"Itu jumlah yang datang memohon selepas bernikah (1,617) itu, kita percaya yang tidak datang memohon di luar sana mungkin juga lebih ramai.

"Saya percaya perkara ini berlaku disebabkan oleh ceteknya kesedaran masyarakat terhadap kesan poligami tanpa kebenaran.

"Poligami tanpa kebenaran ini adalah kesalahan di bawah undang-undang keluarga Islam yang berkuat kuasa namun ia akan mendatangkan kemudaratan dalam rumah tangga kerana lazimnya mereka ini berhasrat merahsiakan perkahwinan poligami itu daripada pengetahuan isteri sedia ada.

"Ketidakjujuran dalam ikatan perkahwinan seperti inilah yang akan menyebabkan sengketa yang berterusan, menghilangkan mawaddah dan rahmah dalam sesebuah perkahwinan dan akhirnya mampu meruntuhkan institusi perkahwinan itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan perasmian penutup Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang dengan tajuk Poligami: Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah anjuran Mais dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Negeri di sini, semalam.

ABDUL Aziz  pada sidang media selepas Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang dengan tajuk Poligami: Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah anjuran Mais dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Negeri. FOTO Faiz Anuar
ABDUL Aziz pada sidang media selepas Forum Kekeluargaan Undang-Undang dan Pencerahan Undang-Undang dengan tajuk Poligami: Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah anjuran Mais dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Masjid Negeri. FOTO Faiz Anuar

Abdul Aziz berkata, masyarakat Islam yang berhasrat untuk berpoligami diingatkan supaya mematuhi undang-undang berkaitan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 sedia ada.

"Enakmen ini mewajibkan suami untuk berlaku jujur dan berterus terang dengan pasangan sedia ada berhubung hasrat mereka untuk berpoligami," katanya.

Justeru katanya, Mais menasihatkan masyarakat Islam di Selangor agar tidak menggunakan jalan singkat untuk berpoligami melalui Nikah Sindiket, Nikah Sempadan dan seumpamanya.

"Perbuatan ini bukan sahaja akan memudaratkan perkahwinan sedia ada dan menjejaskan kesejahteraan sesebuah keluarga, bahkan pasangan yang berpoligami melalui cara ini juga berhadapan dengan risiko pernikahan mereka tidak sah mengikut hukum syarak.

"Tindakan bernikah poligami tanpa kebenaran ini juga adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 124, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

"Mana-mana orang yang didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya," katanya.

Malah, katanya, mereka yang bersubahat terhadap kesalahan poligami tanpa kebenaran juga boleh dikenakan hukuman yang sama.

Mengulas mengenai forum yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Mais pula katanya, ia bertujuan memberi pencerahan kepada orang ramai berhubung hukum sebenar poligami menurut Islam dan perundangan berkaitan dengan poligami yang terpakai, khususnya di negeri ini.

"Besarlah harapan agar pelaksanaan forum ini dapat memberi pencerahan berhubung poligami.

"Ingatlah, walaupun poligami itu diharuskan dalam Islam, namun poligami perlu diuruskan dengan berhati-hati. Janganlah pula perkahwinan melalui poligami yang baharu dibina akan membawa kepada rebahnya perkahwinan sedia ada," katanya.

Forum itu dibarisi Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir, Pengarah Kanan (Kehakiman) Jakess, Mohamad Zakian Dio, dan Pemangku Penasihat Undang-Undang Mais, Norlaili Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 7:01 AM