NADIN berjaya menghiburkan 2,000 peminat di Kuala Lumpur.
NADIN berjaya menghiburkan 2,000 peminat di Kuala Lumpur.
Ridzuan Abdul Rahman


BARANGKALI tidak semua peminat industri seni Malaysia mengenali penyanyi muda Indonesia, Nadin Amizah.

Bagaimanapun, dengan kecanggihan teknologi, semuanya bukan mustahil untuk mempromosikan diri kepada peminat di seluruh dunia.

Justeru tidak mengejutkan apabila penampilan pertamanya menerusi Konsert Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya oleh Nadin Amizah di Zepp Kuala Lumpur, baru-baru ini menarik kehadiran 2,000 peminat.

Nama penyanyi berusia 23 tahun ini di Indonesia sebenarnya sudah besar dan sering menjadi perhatian di sana dengan mencatat beberapa pencapaian dan anugerah dalam industri seni hiburan.

Menyaksikan konsert ini, dapat dibuat kesimpulan persembahan ini adalah rakaman catatan hidup dirinya sendiri.

Dia yang mula terbabit dengan bidang nyanyian sejak 2017 tampil membawakan semua lagu dalam album terbaharunya, Kalah Bertaruh.

Konsert Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya oleh Nadin Amizah dibawakan dalam segmen berbeza sebagai kelainan untuk peminat.

Segmen pertama dimulakan dengan video janin dan suara gelak tawa kanak-kanak. Lagu yang dinyanyikan antaranya Sebuah Tarian Yang Tak Kunjung Selesai, Hormat Kepada Angin, Seperti Takdir Kita Yang Tulis dan banyak lagi.

KEBANYAKAN lagu nyanyian Nadin berkisarkan peristiwa yang dilaluinya pada masa silam.
KEBANYAKAN lagu nyanyian Nadin berkisarkan peristiwa yang dilaluinya pada masa silam.

Memasuki segmen kedua, Nadin menampilkan sebuah pementasan semi teater menceritakan semua lagu dalam album Selamat Ulang Tahun.

Pemilihan ini menjadikan ia sebuah konsep yang segar dan bertenaga buat peminat yang teruja dengan persembahannya.

Nyanyian mantap serta gerak tari mempesonakan dari barisan penari yang menyelami bait lirik dan melodi lagu mengundang perasaan asyik penonton mengikuti persembahan.

Semua 2,000 larut tenggelam dalam alunan perasaan lagu Nadin terutama ketika dia menyanyikan lagu 'Bertaut' atas riba ibunya.

Lagu ini mengisahkan luahan perasaan seorang anak kepada ibunya yang ditulisnya sendiri bagi menghargai pengorbanan ibunya membesarkan mereka dua beradik selepas berlaku perceraian dalam keluarga mereka.

Babak demi babak menerusi lagu berlainan ditampilkan dan yang menariknya, setiap lagu ini dihafal oleh penonton yang turut sama menyanyikannya.

Rasa luka dan derita yang dirasai Nadin seakan-akan turut sama dirasai penonton. Malah, mereka bertepuk tangan tanda memberikan semangat terhadapnya yang mampu mencipta nama di sebalik kepayahan yang dilalui ketika membesar.

Seperti yang dinantikan peminat, Nadin menutup konsertnya ini dengan lagu popularnya 'Sorai'.

Agak menarik apabila persembahan ini dimeriahkan dengan lontaran kapal terbang kertas yang digubah khas dan diberikan kepada penonton untuk diluncurkan di udara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Februari 2023 @ 6:49 AM