Nadin Amizah
Nadin Amizah
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur : Penyanyi dan penulis lagu Indonesia, Nadin Amizah enggan menyertai pertandingan realiti nyanyian Big Stage seperti mana dua lagi rakan senegaranya iaitu Dinda Permata dan Tegar Septian sekiranya ditawarkan.  

Nadin, 23, berkata, dia pernah menyertai pertandingan nyanyian terbitan Trans TV Social Media Sensation pada 2016 dan melihat pertandingan seperti itu kurang sesuai dengan dirinya.

 "Saya melihat terlalu banyak peraturan yang perlu diikuti dan merasa tiada keperluan untuk saya menyertai program sebegini pada masa sekarang. 

"Saya tidak gusar sekiranya dikatakan rugi tolak peluang menyertai pertandingan begini kerana akan memperkenalkan nama saya di Malaysia.

"Insya-Allah kalau Allah menjanjikan namaku harum di Malaysia, Dia akan membawanya dalam cara lain," katanya pada sidang media yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Penyanyi yang dikenali menerusi lagu-lagu seperti Bertaut, Sorai, Seperti Takdir Yang Kita Tulis dan Rumpang hadir ke negara ini bagi menjayakan konsert sulungnya, Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya oleh Nadin Amizah di Zepp Kuala Lumpur, malam esok. 

"Sejak saya aktif menyanyi pada 2017 lagi, ada ramai peminat dari Malaysia bertanya mengenai show di Malaysia. Saya pula sebelum itu tidak pernah terfikir untuk datang ke Malaysia. 

"Tapi alhamdulillah ada rezeki untuk datang ke sini. Disember lalu saya adakan konsert dengan judul serupa di Jakarta kerana konsert di Indonesia sangat istimewa bagi saya. Jadi saya mahu membawanya ke Malaysia pula," katanya. 

Malaysia menjadi pilihan utama Nadin memandangkan budaya dan bahasa serumpun dimana masyarakatnya faham lagu yang dinyanyikan. 

"Kalau tidak serumpun mungkin susah juga. Kehadiran saya bersama 32 ahli rombongan meliputi pemuzik dan penari. Mereka yang akan berada di atas   pentas pula sekitar 10 hingga 12 orang. Latihan untuk konsert ini dibuat di Jakarta selama lebih sebulan. 

"Saya akan menyanyikan 18 lagu. Ini kali pertama bawa lagu sebanyak ini dan sedar akan berasa penat. Ternyata saya perlukan stamina yang banyak," katanya.

Konsert Selamat Ulang Tahun dan Kisah Lainnya oleh Nadin Amizah dianjurkan oleh MYdeteksi dengan kerjasama TAPAUasia, Sorai dan Tap Projects.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2023 @ 8:19 PM