KEMUNCULAN Ruffedge berjaya mengubat hati peminat mereka.
KEMUNCULAN Ruffedge berjaya mengubat hati peminat mereka.
Georgie Joseph


KEADAAN cuaca yang tidak menentu diikuti hujan renyai membasahi kawasan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur sebelum Konsert KL Big Gig 2023 bermula tidak menghalang kehadiran ribuan peminat muzik negara.

Konsert berlangsung lebih dua jam itu sempena ulang tahun ke-50, KLfm menampilkan persembahan hebat artis terkenal tanah air antaranya Datuk Zainal Abidin, Dayang Nurfaizah, Datuk DJ Dave dan Black Hanifah.

Turut serta Azlan The Typewriter, Hael Husaini, Akim & The Majistret, Ruffedge, Sissy Iman, Minder Singh, Roger dan Kajol Zuraidah.

Persembahan KL Big Gig 2023 menampilkan enam segmen iaitu bermula dengan Neon Neon Kuala Lumpur yang membariskan kompilasi lagu berkaitan ibu kota Kuala Lumpur.

Penonton yang hadir sejak petang terhibur dengan persembahan pembuka tirai dan turut sama menyanyikan lagu medley Radio KL iaitu Radio Malaysia (Sejak Dulu), Chow Kit Road, Senja Di Kuala Lumpur, Kuala Lumpur Kotarayaku dan Senyumlah Kuala Lumpur.

Gabungan Black Hanifah dan Azlan The Typewriter penuh bertenaga mempersembahkan lagu itu.

Diikuti segmen Hits menampilkan persembahan lagu rancak Kelantang Kelentung oleh penyanyi asal Negeri Sembilan, Hael Husaini.

Penonton kemudian dihiburkan dengan lagu Assalamualaikum nyanyian asal Faizal Tahir yang disampaikan oleh Sissy Iman.

AKIM & The Majistret menghiburkan peminat dalam segmen Rock Alternative.
AKIM & The Majistret menghiburkan peminat dalam segmen Rock Alternative.

Sissy turut mendendangkan lagu barunya bertajuk Berhentilah.

Kemunculan Ruffedge berjaya mengubat hati peminat yang merindukan persembahan setiap anggotanya iaitu Azan Addin, Mode, Cat Farish, Sein dan Zain.

Tampil dengan dua 'lagu berhantu' mereka iaitu Bila Rindu dan Khayalan.

Turut disampaikan pada konsert itu segmen Bollywood khusus buat peminat yang menggabungkan artis terkenal, DJ Dave selain Minder Singh, Kajol Zuraidah dan Roger.

Penonton yang hadir terhibur dengan seleksi lagu Mere Mann Ki Gangga Aur Tere Mann, Kuch Kuch Hota Hai, Main Shayar To Nahi dan Maafkanlah.

Suasana konsert dipanaskan dengan persembahan segmen Rock Alternative oleh Akim & The Majistret yang mempersembahkan lagu dinantikan peminat setia mereka seperti Obses, Saksama, medley Potret dan Mewangi juga Rampas.

Menyusul segmen Top Chart pula mengetengahkan Hael menghiburkan dengan seleksi lagu popularnya termasuk Jampi dan Sama Seperti Dulu.

DAYANG hangatkan pentas Konsert KL Big Gig 2023.
DAYANG hangatkan pentas Konsert KL Big Gig 2023.

Black pula menyanyikan lagu Sofea Jane dan diakhiri lagu Jangan Khianati Aku oleh Azlan The Typewriter.

Segmen akhir adalah The Evergreen menampilkan kemunculan penyanyi kesayangan ramai, Dayang Nurfaizah menghiburkan dengan lagu Sejak Ku Bertemu Padamu dan Umpan Jinak di Air Tenang.

Disusuli persembahan daripada penyanyi legenda, Zainal Abidin dengan momen terindah bersama penonton yang hadir menerusi persembahan istimewa lagu Manis dan Ikhlas Tapi Jauh.

Sebagai simbolik ulang tahun ke-50, persembahan artis diiringi gabungan 50 pemuzik Orkestra RTM dan Orkestra DBKL di bawah pimpinan Pengarah Muzik, Luqman Aziz dari RTM dan Mohd Isa Ismail dari DBKL.

Konsert KL Big Gig 2023 bersiaran secara langsung jam 9 malam menerusi saluran Okey, radio KLfm dan RTMKlik adalah kerjasama KLfm dengan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan & Sukan, DBKL.

Turut berlangsung sesi pemotongan kek momento sempena Jubli Emas KLfm oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman kepada Pengurus KLfm, Norliza Nordin.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pembangunan sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin.

Konsert ini juga berkonsepkan berhibur sambil menderma kepada tabung akaun amanah rakyat Palestin di bawah Kementerian Luar Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2023 @ 6:30 AM