VOKAL Mamat, Ezad nyata tetap pukau peminat membesar pada zaman kegemilangan kumpulan itu. - FOTO Sadiq Sani
VOKAL Mamat, Ezad nyata tetap pukau peminat membesar pada zaman kegemilangan kumpulan itu. - FOTO Sadiq Sani
Syafil Syazwan Jefri


Melangkah masuk menuju ke pentas, diiringi sorakan 6,000 penonton di Mega Star Arena Kuala Lumpur benar-benar membuktikan nilai relevan band popular, Exists yang masih kekal sehingga ke hari ini.

Tampil kemas dengan penataan gaya sesuai konsep Konsert Exists X Orkestra, band yang dianggotai Ezad (penyanyi), Mamat (penyanyi), Along (gitar), Musa (bass), Ajai (keyboard) dan Ujang (dram) turut mengenakan mafla Palestin untuk memperingati situasi semasa yang melanda negara itu.

Konsert Exists X Orkestra yang diiringi kumpulan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memulakan persembahan dengan segmen bersama Ezad yang menyampaikan lagu Jangan Gentar sebagai lagu 'memanaskan badan'.

Ezad seterusnya meneruskan segmennya dengan menyampaikan lagu-lagu popular generasinya sebagai penyanyi antaranya Seperti Dulu, Masih Terserlah Ayumu dan Hilang Dalam Ramai.

Kegilaan peminat menjadi-jadi tatkala Mamat melangkah masuk ke ruang tengah dan mengambil alih pentas sekali gus menyampaikan lagu-lagu popularnya.

Antara lagu-lagu yang 'melempar' penonton kembali ke masa lalu mereka adalah Sebelum Terlewat, Nota Di Lautan Sepi dan lagu 'berhantu', Untukmu Ibu.

Tidak hanya menyanyikan lagu-lagu popular Exists, penonton juga turut dihiburkan dengan beberapa lagu saduran antaranya Rindu Serindu-Rindunya oleh Ezad, yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Spoon.

Mamat pula menyentuh emosi penonton dengan menyampaikan lagu popular Slam berjudul Tak Mungkin Berpaling.

EXISTS mengimbau kenangan lagu-lagu popular mereka di Konsert Exists X Orkestra. - FOTO Sadiq Sani
EXISTS mengimbau kenangan lagu-lagu popular mereka di Konsert Exists X Orkestra. - FOTO Sadiq Sani

FREDDIE menerima replika cek berjumlah RM20,000 hasil  pembelian tiket penonton. - FOTO Sadiq Sani
FREDDIE menerima replika cek berjumlah RM20,000 hasil pembelian tiket penonton. - FOTO Sadiq Sani

Dapat dilihat dengan jelas, pelbagai generasi peminat Exists berkumpul di satu lokasi dan terpukau dengan persembahan mereka.

Tidak hanya peminat dalam kalangan orang awam, selebriti juga turut hadir mengimbas kenangan masa silam mereka antaranya, Elly Mazlein yang cukup dikenali sebagai peminat Exists.

Enggan sekadar memberikan persembahan penuh nostalgia, Exists juga menunaikan janji mereka di hadapan 6,000 penonton untuk menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez tampil menerima replika cek berjumlah RM20,000 yang dikumpul menerusi sebahagian pembelian tiket setiap penonton yang hadir.

Persembahan kemudian diteruskan lagi dengan persembahan lagu-lagu popular mereka dan turut menyaksikan penonton bangun dari tempat duduk tatkala lagu Mengintai Dari Tirai Kamar dipersembahkan.

Exists kemudiannya menutup persembahan mereka dengan lagu Langkah Seiringan dan Alasanmu yang juga turut meninggalkan kesan di hati setiap yang hadir.

Yang pasti, Konsert Exists X Orkestra sangat meninggalkan kesan di hati peminat dan menjadi penutup terbaik untuk acara konsert pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2023 @ 6:47 AM