PASHA tampil dengan vokal yang mantap.
PASHA tampil dengan vokal yang mantap.
Ridzuan Abdul Rahman


LIMA tahun lamanya menanti, rindu 3,000 peminat tanah air akhirnya terubat apabila kumpulan Ungu tampil dalam Konsert Ulang Tahun Ke-26 mereka di Dewan Star Convention Center, Menara PGRM Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Paling penting mereka terhibur dengan persembahan Pasha (vokalis), Enda (pemain gitar), Oncy (pemain gitar), Makki (bass) dan Rowman (drum) dalam konsert yang berlangsung selama dua jam ini.

Konsert anjuran Star Planets yang disokong oleh Kementerian Pelancongan Malaysia ini berjalan dalam keadaan yang amat teratur, kemas dan lancar.

Tambahan lagi persembahan pada malam pertama turut dihadiri oleh tetamu istimewa, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Baginda mencemar duli bersama tiga anak, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah ke konsert terbabit.

Tidak ketinggalan penyanyi rock terkenal tanah air, Datuk Amy Search turut hadir menyaksikannya.

Tepat jam 9 malam, pentas dibuka dengan montaj menampilkan wajah anggota Ungu yang disambut dengan tepukan bergemuruh penonton.

UNGU mengakhiri penantian peminat yang menunggu lima tahun untuk menyaksikan konsert mereka.
UNGU mengakhiri penantian peminat yang menunggu lima tahun untuk menyaksikan konsert mereka.

Pasha kemudian tampil membuka pentas dengan lagu I Need You, Ciuman Pertama, Berikan Aku Cinta, Cinta Gila.

Detik awal persembahan mereka pun sudah cukup memukau peminat yang begitu teruja menantikan persembahan seterusnya.

Pasha dilihat seorang yang pandai berkomunikasi dan bergurau menjadikan suasana gamat dengan ketawa penonton.

Malah dia juga bijak menyelitkan usikan terhadap Permaisuri Agong sehinggakan Baginda tidak dapat menahan ketawa.

Sikap Baginda yang sporting dan sentiasa ceria juga menjadikan persembahan Ungu amat bermakna.

Pasha juga berkali-kali mengulangi dialog rasa hormatnya terhadap Amy dan spontan menyanyikan lagu Isabella yang turut sama dinyanyikan Amy serta penonton di bawah pentas.

PENONTON terhibur dengan aksi Ungu.
PENONTON terhibur dengan aksi Ungu.

Konsert itu menampilkan lebih 20 buah lagu hits mereka antaranya Kekasih Gelap, Percaya Padaku, Andai Ku Tahu, Bila Tiba, Tercipta Untukku, Cinta Dalam Hati, Hampa Hatiku dan banyak lagi.

Kemampuan vokal Pasha dan persembahan anggota Ungu sememangnya hebat dan mantap.

Bahkan ketika menyampaikan lagu Tercipta Untukku, emosi penonton dibuai oleh lantunan merdu vokal Pasha sehinggakan ada yang menitiskan air mata.

Selain Pasha, Enda dan Onci juga turut mempamerkan nyanyian mereka pada malam terbabit.

Demi Waktu menjadi lagu terakhir nyanyian Pasha sekali gus meninggalkan kesan dan kenangan manis buat semua yang hadir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 6:30 AM