Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Paparan klip video lagu Ku Relakan Jiwa nyanyian Muhammad Hazury Amin Harrith yang disiarkan di laman online myMetro menjadi viral sehingga berjaya menaikkan nama penyanyi cilik berusia sembilan tahun ini kepada masyarakat.

Bahkan klip video nyanyiannya yang dimuatkan di laman sosial YouTube sudah ditonton hampir 13,000 orang sekaligus menunjukkan bakat hebat dimiliki anak kelahiran Kemaman, Terengganu ini.

Mengenalinya, Hazury sememangnya lincah apabila memetik gitar dan menyanyi, namun pada sisi lainnya kelihatan sangat pemalu sebagaimana karakter kanak-kanak seusianya.

Bapanya, Harrith Hariry Mohd Ussoh berkata, anak ketiga daripada empat beradik ini mula menyanyi sejak berusia enam tahun dan mula serius sejak setahun lalu apabila mengikat kontrak rakaman dengan KRU.

"Bakatnya mengalir daripada saya yang mempu-nyai band sendiri di Kemaman. Dia sering lihat saya main gitar dan berminat nak belajar. Namun yang sebenarnya Hazury bermula dengan mengaji dulu dan aktif dalam nasyid serta pernah menyertai pertandingan nasyid peringkat daerah.

"Saya ajar dia petik gitar dan dapati petikannya sedap. Kemudian saya hadiahkan dia gitar ketika ulang tahun kelahirannya pada September lalu. Hazury cepat tangkap apa yang diajarkan dan mula reka lagu sendiri.

"Dia berjaya siapkan lagu sendiri dan saya betulkan mana yang patut. Hazury juga dibawa buat persembahan seluruh Kemaman dan Kuantan. Dari situ dia perlahan-lahan mula dikenali ramai," katanya.

Menurutnya, ketika usia lapan tahun, Hazury diundang menjayakan per-sembahan anjuran sebuah syarikat telekomunikasi dan seorang kenalan Norman KRU yang berada di situ memberikan video nyanyian anaknya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU itu untuk dinilai.

"Alhamdulillah, pada November tahun lalu, Hazury diterima untuk me-nyertai KRU. Seterusnya dia muncul dengan single pertama berjudul Warisanmu ciptaan Edry KRU.

"Terbaru, anak saya tampil pula dengan single kedua berjudul Penghibur Jalanan pada 24 Oktober lalu. Istimewanya lagu ini hasil ciptaan Hazury sepenuhnya yang dihasilkan sebaik dia selesai menunaikan solat.

"Hazury juga pernah diberi pendedahan beraksi dalam konsert Forteen yang berlangsung di KL Live pada April lalu dan seterusnya semakin jadi perhatian peminat dunia seni tanah air," katanya.

Mahu ketengahkan bakat

Harrith Hariry me-ngakui paparan klip video nyanyian anaknya di myMetro melonjakkan populariti anaknya sekelip mata. Namun, dia sendiri tidak tahu siapa yang menghantar rakaman ini yang membawa makna begitu besar kepada karier Hazury.

"Memang saya yang merakam klip video ini dan pernah masukkan dalam YouTube tapi waktu itu kurang sambutan. Ia juga sudah lama dikongsi di laman sosial Facebook Hazury.

"Apabila ada orang kongsikan di myMetro barulah ia 'meletup' dan berjaya menarik tontonan 700,000 peminat. Terima kasih saya ucapkan pada semua yang menyokong anak saya.

"Sebenarnya saya tak rasa bangga sangat dengan apa yang dimiliki oleh Hazury kerana tujuan sebenarnya nak asah bakat dia. Apatah lagi berada di bawah pengurusan KRU sangat bagus kerana mereka pentingkan pelajaran.

"Apa yang dilakukan ialah bertujuan mengisi duit poket dan menabung untuk masa depan Hazury. Pada sisi lainnya, Hazury masih tetap seperti kanak-kanak kampung lain yang aktif bermain ketika masa lapang.

"Bagaimanapun dia tak suka pada gajet atau menonton TV. Dia hanya suka mendengar lagu dan bermain gitar. Cita-citanya ketika dewasa ialah mahu bergelar anggota polis.

"Hazury juga boleh mengaji dengan baik dan sudah dua kali khatam al-Quran. Dia suka melagukan bacaan al-Quran. Bahkan dia juga sertai kumpulan qasidah di kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 5:00 AM