ROSSA sempat mengusik peminat yang diajak menyanyi dengannya.
ROSSA sempat mengusik peminat yang diajak menyanyi dengannya.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Meskipun berlangsung pada pertengahan minggu, Konsert Pesona Cinta Datuk Rossa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Persada, Johor Bahru, Rabu lalu menarik lebih 1,500 penonton.

Lebih daripada itu, konsert anjuran Wonderful Indonesia dan Insight of Indonesia (IOI) 512 itu membuktikan penyanyi bernama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani dari Sumedang, Indonesia ini mempunyai keistimewaan tersendiri.

Menerusi konsert selama dua jam setengah itu, Rossa membuktikan kredibilitinya sebagai penghibur profesional apabila menampilkan persembahan menghiburkan.

Kemunculannya dari belakang tempat duduk penonton tepat jam 8.45 malam menerusi lagu Sakura membuatkan keadaan bergemuruh. Peminat menjerit kesukaan dan tidak melepaskan peluang merakam gambar kenangan.

Rossa seterusnya menyampaikan lagu Tegar yang turut dinyanyikan penonton sebelum berhenti seketika untuk berinteraksi dengan peminat.

“Ini destinasi yang saya ingin datang. Bukan saya seorang, bahkan kedatangan di sini turut ditemani ibu bapa saya. Terima kasih kepada semua yang menyokong.

“Saya sebenarnya bimbang kerana konsert bukan berlangsung pada malam minggu. Esok kamu semua harus kerja lagi kan?” katanya yang bijak berkomunikasi dengan penonton.

Sepanjang persembahannya juga, Rossa tidak lupa bercerita pengalamannya ketika merakam lagu serta kaitan lagu itu dengan kehidupannya.

Kelihatannya cara ini amat intim dengan penonton. Paling mengujakan ketika persembahannya, Rossa turut ke tempat duduk penonton untuk bersalaman serta memberikan peluang untuk bergambar.

Sudah tentunya ia tidak dilepaskan begitu saja oleh peminat yang berasak-asak untuk bergambar sehingga memaksa pengawal keselamatan mengawal keadaan.

Sepanjang konsert, ada saja dialog berbaur lucu diucapkan Rossa membuatkan penonton ketawa. Selain lagu balada, Rossa juga hebat menyanyikan lagu berentak rancak.

Persembahannya yang diiringi penari dengan tarian bertenaga sememangnya memukau. Ini kelebihan pe­nyanyi kecil molek ini.

Tidak ketinggalan, Rossa turut menjemput Joe Flizzow berduet menerusi lagu Aku Tanya Apa Khabar dan Katakan serta Hafiz Suip menerusi lagu Salahkah dan Hanya Ingin Kau Cinta.

Sudah tentunya kemunculan Afgan untuk berduet dengan Rossa ditunggu-tunggu peminat. Malah, kemunculan Afgan sahaja sudah cukup menjadikan suasana menjadi gamat.

Sengaja untuk menduga peminat dengan persoalan sendiri, pasangan ini berbual-bual mesra di atas pentas bak pasangan bercinta sebelum menyampaikan lagu Bukan Cinta Biasa, Bawalah Pergi Cintamu, Kini, Love Me Like dan Kamu Yang Ku Tunggu.

Menyampaikan 26 lagu, Rossa meninggalkan kenangan manis kepada peminat bukan saja yang datang dari sekitar Johor dan Singapura, bahkan ada dari Pulau Batam, Indonesia dan Abu Dhabi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menerusi persembahan yang diiringi pemuzik dan penyanyi latar yang diterbangkan khas dari Indonesia, Rossa turut menyampaikan lagu daerah seperti Wonderful Indonesia, Janger, Ilir-Ilir, Manuk Dadali bagi mempromosikan negaranya.

Tidak ketinggalan, dia turut menyanyikan lagu Awal Lah Dondang bagi membuktikan keharmonian masyarakat serumpun Indonesia dan Malaysia.

Ditemui selepas konsert itu, Rossa berkata, dia puas kerana akhirnya berjaya menghiburkan peminat di Johor.

“Ini adalah konsert penutup saya di Malaysia dan konsert solo pertama saya di Johor Bahru. Seperti dikatakan tadi, saya sebenarnya takut kerana konsert ini berlangsung pada hari Rabu.

“Alhamdulillah bilangan penonton yang hadir agak ramai. Senarai lagu yang dinyanyikan agak berbeza daripada konsert di Istana Budaya kerana saya tahu ada peminat dari Kuala Lumpur turut hadir menonton,” katanya.

Menurutnya, kedudukan pentas untuk konsert ini turut membuatkan dia selesa untuk turun menemui peminat.

“Ini adalah tindakan spontan saya untuk mereka. Kalau ikutkan saya nak berjalan menemui peminat sehingga bahagian belakang tapi masa terlalu suntuk.

“Apapun, saya juga bersyukur kerana rakan-rakan artis Malaysia iaitu Joe dan Hafiz sangat menyokong sepenuhnya apabila terbabit dengan konsert ini,” katanya.

Rossa tidak sempat meluangkan masa lama di Malaysia kerana keesokannya terbabit dengan persembahan di Bali dan seterusnya ke Bogor, Surabaya dan Cirebon di Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 5:01 AM