SUARA merdu penyanyi legenda, Jones pukau 2,000 peminat menerusi konsert Siri Jelajah Ages & Stages.
SUARA merdu penyanyi legenda, Jones pukau 2,000 peminat menerusi konsert Siri Jelajah Ages & Stages.
Georgie Joseph


PENYANYi legenda, Tom Jones mengembalikan nostalgia lama menerusi konsert Siri Jelajah Ages & Stages, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jones, 83, menghiburkan lebih 2,000 penonton rata-rata golongan berusia pada konsert berdurasi lebih dua jam itu. Mendendangkan sekitar 20 lagu, suasana cukup santai, namun tetap mengujakan peminat tegarnya.

Penyanyi yang juga juri dan jurulatih program The Voice UK berkenaan pun tampil bersahaja. Dia hanya perlukan suara merdunya untuk memukau penonton dengan diiringi lima ahli pemuzik.

"Saya sentiasa ingat Kuala Lumpur. Kali terakhir berada di sini, saya sangat gembira dan istimewa kerana sambutan kalian selalunya luar biasa. Seronok dapat kembali," katanya.

Memulakan persembahan tepat jam 8.30 malam, Jones mendendangkan lagu I'm Growing Old sebagai pembuka tirai. Sebaik kelibatnya muncul, tepukan gemuruh bergema dan penonton bersorak-sorai buatnya.

Meskipun di usia 80-an, ternyata tenaganya masih sangat mengagumkan. Hakikatnya, dia sangat lincah sambil berjoget menyanyikan beberapa lagunya yang rancak.

Dia cuma akan duduk apabila menyanyikan lagu yang perlukan penjiwaan mendalam. Selainnya, dia jelas tampak selesa untuk bergerak menakluk pentas dengan tarian bersahajanya.

Penonton yang hadir pada malam itu pun masih dapat berseronok dengan bergoyang menari atas kerusi. Memandangkan konsert itu konsert duduk, membataskan penonton untuk bangun dan menari.

Padahal, kalau ikutkan banyak juga seleksi lagunya yang boleh menari bersama. Ia termasuk lagu ikoniknya Sexbomb yang sehingga kini menjadi siulan baik dalam kalangan pendengar muda pun.

Kekuatan Jones sangat ketara pada coraknya bercerita atas pentas. Dia tidak perlu bercakap panjang dan melalut, cukup memberi keterangan ringkas mengenai latar belakang lagu dinyanyikan.

PERSEMBAHAN Jones santai, namun cukup menusuk kalbu.
PERSEMBAHAN Jones santai, namun cukup menusuk kalbu.

Sekali gus, penonton mendapat ilmu daripada perkongsiannya kerana dia berkongsi di cerita sebalik setiap lagunya. Ternyata rata-ratanya ada kisah tersendiri dan menarik untuk disoroti.

Pementasan secara keseluruhannya pun dibuat santai tanpa perlukan prop besar. Ini kerana, lima pemuzik merangkumi pemain gitar, keyboard dan dram atas pentas pun sudah mengambil ruang besar.

Cumanya, latar belakang skrin diod pemancar cahaya (LED) gergasi di belakang menjadi prop penting. Sepanjang konsert, ia memaparkan banyak rakaman kenangan lama Jones termasuk masa mudanya.

Variasi genre juga dapat didengar daripada nyanyiannya. Baik dari muzik country, blues dan balada, penjiwaan luar biasanya mendendangkan setiap lagu cukup menyentuh hati dan menusuk kalbu penonton.

Pada malam itu, Jones mempersembahkan Not Dark Yet, It's Not Unusual, What's New Pussycat? The Windmills of Your Mind, Popstar, Green Grass of Home, Across The Borderline, dan One More Cup of Coffee (Valley Below).

Tidak ketinggalan, Talking Reality Television Blues, I Won't Crumble with You If You Fall, Tower of Song, Delilah, You Can Leave You Hat On, If Only I Knew, Kiss, One Hell of a Life, Strange Things Happening Every Day, dan Johnny B. Goode.

Memulakan karier seni sejak 1960-an, perjalanan seni Jones cukup ikonik. Dia pernah memenangi trofi Artis Baharu Terbaik pada Anugerah Grammy 1966 dan hasilkan lebih 40 album.

Siri Jelajah Ages & Stages dibawakan Live Nation Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 6:30 AM