Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Rangkaian radio Media Prima Audio (MPA) menerima sambutan luar biasa daripada orang ramai yang menghulurkan bantuan berbentuk barangan keperluan asas kepada mangsa yang terkesan akibat banjir. 

Ketua Rangkaian Kandungan Hot FM, Digital & Audio, Shah Hayatudin berkata, kotak sumbangan yang dilancarkan di Giant Kota Damansara sejak 19 Disember lalu berjaya menarik perhatian ramai. 

"Kita semua tahu yang rakyat Malaysia sangat pemurah dalam memberi bantuan terutama ketika mengalami situasi yang getir. Setakat hari ni, Alhamdulillah sambutan yang kami terima daripada sumbangan kotak misi banjir amat menggalakkan. 

"Dalam masa sama, kami juga ingin berterima kasih kepada Takaful Malaysia, Giant Malaysia & My Fund Action kerana turut serta berkolaborasi bersama-sama Media Prima Audio dalam memastikan Misi Banjir ini berjaya,"katanya. 

Menurut Shah, MPA sentiasa prihatin dan mengambil berat dalam membantu rakyat Malaysia yang berdepan dugaan. 

"Kami sentiasa prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat Malaysia serta situasi terkini yang berlaku di negara ini. 

"Kami berharap selain dapat menghiburkan pendengar melalui stesen radio kami iaitu Hot FM, Buletin FM, Molek FM, Fly FM serta 8FM, kami juga dapat menjadi sebahagian daripada komuniti yang memberi sumbangan kepada masyarakat ketika diperlukan. Kami harap usaha kecil kami ingat dapat meringan beban rakyat Malaysia di luar sana,"katanya. 

Terdahulu MPA melancarkan misi bantuan banjir dengan kerjasama Giant Malaysia dalam bentuk barangan keperluan menerusi penyediaan kotak sumbangan di Giant Kota Damansara. 

Antara sumbangan yang akan diberikan adalah barangan keperluan seperti makanan, minuman, tuala, pakaian, lampin pakai buang, tuala wanita, kain batik, kain sarung dan keperluan solat.

Rangkaian radio MPA yang merangkumi lima stesen radio akan membawa kotak sumbangan yang sudah dikumpul bermula minggu ini ke kawasan yang dilanda banjir dan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kawasan yang terkesan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 6:45 PM