Bilangan pendengar Media Prima Audio secara mingguan
Bilangan pendengar Media Prima Audio secara mingguan
Ain Syazlin Ramlan

MEDIA Prima Audio (MPA) mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu rangkaian radio yang berpengaruh di Malaysia berdasarkan kaji selidik Pengukuran Pendengar Radio Wave 1, 2023 (RAM) GfK's.

Pada suku pertama tahun ini, MPA telah mencapai banyak kejayaan dengan menampilkan penyampai baharu, kempen menarik dan pelbagai kandungan baharunya.

Rangkaian radio MPA iaitu Hot FM, Buletin FM, Molek FM, Fly FM & 8FM telah menerima meningkat purata pendengar mingguan sebanyak 5.36 juta orang pendengar mingguan di Semenanjung Malaysia.

Stesen radio Melayu Berpengaruh

Stesen radio Melayu berpengaruh di MPA, Hot FM terus berada di kedudukan antara tiga stesen radio teratas negara dengan 3.67 juta pendengar mingguan.

Lebih mengukuhkan kedudukan, gabungan penyampai baru Hot FM iaitu bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin (KJ) yang digandingkan bersama Bekpes Hot telah membawa kepada lonjakan yang amat mengagumkan. 

Hot FM menganjurkan kempen terbesar yang pernah dianjurkan oleh stesen radio di Malaysia, Hot Hulur Wang Sama Pendengar (HWSP) dimana kempen utama ini menawarkan wang tunai berjumlah RM300,000 kepada seorang pendengar yang bertuah.

Kempen ini merupakan satu kejayaan besar kerana telah menerima lebih 19,000 sepanjang 5 minggu kempen berlangsung. 

Buletin FM stesen radio menyampaikan berita semasa

Seterusnya stesen radio yang menyampaikan berita semasa dalam bahasa Malaysia, Buletin FM juga merekodkan peningkatan 55 peratus dalam bilangan pendengar bagi mereka yang berumur 35-39 tahun. 

Pendengar keseluruhan untuk sasaran utama meningkat sebanyak 21 peratus dan untuk rancangan Santai Siang meningkat sebanyak 53 peratus.

Buletin FM turut menganjurkan kempen utama, Masterclass Buletin FM iaitu webinar percuma yang akan disiarkan menerusi akaun rasmi Facebook Buletin FM dan Audio+.

Kempen ini dijayakan lagi dengan pengelibatan penyampai Buletin FM iaitu Izwan Azir, Muaz, Marsila Hassan, Haiza serta Hanif Miswan.

Molek FM fokus pendengar Pantai Timur

Seterusnya, stesen radio Molek FM yang memfokuskan pendengar di Pantai Timur memperoleh seramai 542,000 pendengar mingguan meningkat sebanyak 58,000 pendengar berbanding GfK's RAM yang dijalankan pada November tahun lalu.

Dengan menggunakan bahasa ibunda Pantai Timur sebagai bahasa utama pertuturan, penyampai radio bagi slot Molek Pagi dan Molek Petang telah berjaya mencapai pendengar sebanyak 55,000 dan 48,000.

Molek FM juga telah menampilkan beberapa kempen unik sepanjang Februari hingga Mac seperti Oghe Molek yang merupakan kempen utama yang berjaya.

Kempen Bekwoh Meriah Molek pula memberi peluang kepada pendengar untuk melibatkan diri secara langsung dengan menjemput barisan penyampai Molek FM untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka.

Radio berbahasa Inggeris MPA

Fly FM yang merupakan satu-satunya stesen radio berbahasa Inggeris MPA berjaya menduduki tempat ke-2 bagi stesen radio berbahasa Inggeris di Malaysia. 

Fly FM telah merekodkan sejumlah 1,055,000 pendengar mingguan dan merupakan satu-satunya stesen yang mengalami peningkatan masa mendengar (TSL) dalam pasaran bahasa Inggeris.

Kempen The JoKeRs in the Morning kini menjadi rancangan kegemaran dalam pasaran Inggeris dengan secara tidak langsung mencatatkan pertumbuhan 16,000 pendengar.

Kempen utama Find The JoKeRs ialah kempen inovatif yang melibatkan pendengar mencari kad Joker dalam tempoh satu jam di seluruh negara.

Sepanjang tempoh tiga minggu, hadiah wang tunai bernilai sehingga RM50,000 telah diberikan dalam kempen tersebut.

Selain itu, kempen memecah kod membolehkan pendengar memenangi sebuah kenderaan elektrik Appollen A1 jika mereka berjaya meneka kod enam digit dalam urutan yang betul.

Fly FM menyaksikan peningkatan drastik sebanyak 163 peratus dalam jumlah tontonan video dan 202 peratus peningkatan dalam penglibatan media sosial menerusi inisiatif unik sempena konsert artis K-Pop terkemuka BLACKPINK. 

Fly FM Summer Vibes Pool Party dan Fly Nite Club turut memberi peluang kepada pendengar untuk berinteraksi dengan penyampai Fly FM iaitu Juanita, Kavin Jay, Ryan Howlett, Natalie, Ryan, Elysha dan Fifi.

Radio tunggal Bahasa Cina

Stesen radio tunggal berbahasa Cina MPA, 8FM merekodkan sebanyak 423,000 pendengar mingguan.

Pendengar rancangan pagi (8FM日日好精神) bagi sasaran umur terbuka dan sasaran utama meningkat sebanyak 12,000 dan 17,000 pendengar. 

Selain itu, pendengar sebelah petang (8FM放工吃FUN团) untuk sasaran utamanya memperoleh 21,000 pendengar. 

Kempen inovatif seperti 8FM In Between, 8FM Most Wanted (8FM 揾到你) dan 8FM Most Wanted Music Show (8FM 揾到你 Music Show) membawa lebih banyak penglibatan dan hiburan kepada pendengar.

Rancangan muzik 8FM Most Wanted ialah kempen terakhir di mana penyampai 8FM turun padang bersama artis popular di Sia Boey, Pulau Pinang dengan pendengar berkumpul untuk menyaksikan persembahan oleh Firdhaus (菲道尔), Yise (罗忆诗), dan Uriah (徐凯).

Kaji selidik GfK's Pengukuran Pendengar Radio Wave 1, 2023 telah dijalankan selama enam minggu pada bulan Februari hingga Mac, dengan saiz sampel 6,356 peserta.

Pendekatan metodologi campuran digunakan untuk mendapat bilangan pendengar radio dengan tepat di Semenanjung Malaysia.

Hasil tinjauan itu menunjukkan bahawa pendengar radio mencapai lebih 97 peratus daripada populasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 12:49 PM