IZWAN menyampaikan kotak makanan kepada mangsa banjir di Kupang. FOTO SAFURI KAMARUDIN
IZWAN menyampaikan kotak makanan kepada mangsa banjir di Kupang. FOTO SAFURI KAMARUDIN
Safuri Kamarudin


Baling: Penyampai radio dan kakitangan rangkaian radio Media Prima Audio (MPA) menyantuni penduduk yang terkesan dengan banjir kilat yang melanda 12 kampung di Kupang di sini, Isnin lalu dengan menyalurkan bantuan berupa 160 kotak makanan.

Rangkaian radio MPA berkenaan merangkumi lima stesen radio iaitu Hot FM, Buletin FM, Molek FM, Fly FM dan 8FM.

Ketua Pegawai Kandungan MPA Aaron Pinto berkata, antara makanan disumbang ialah biskut, makanan dalam tin dan air minuman.

"MPA amat prihatin dengan nasib mangsa banjir dan mengambil inisiatif menghantar penyampai radio dan kakitangan kami untuk menyampaikan bantuan kepada mereka.

"Kami turut memberi sokongan moral kepada mangsa bencana ini," katanya.

Sumbangan disampaikan oleh personaliti MPA, Izwan Azir kepada mangsa banjir di Kampung Tanjung, Kupang.

"Kami di MPA berharap, bantuan ini dapat membantu meringankan beban dihadapi mangsa banjir. Sekurang-kurangnya, kehadiran kami memberi semangat kepada mereka untuk tabah berdepan ujian," katanya.

Banjir kilat ini memberi kesan kepada lebih 1,400 individu yang hilang tempat tinggal selain meragut tiga nyawa.

Sementara itu, mangsa banjir, Abdullah Isa Mat Tahir, 64, bersyukur kerana ahli keluarganya selamat dalam bencana kali ini yang dianggap sebagai luar biasa.

"Hujan lebat selama tiga jam menyebabkan paras air naik sehingga kira-kira dua meter. Kami gagal menyelamatkan pelbagai barangan serta perkakasan," katanya selepas menerima sumbangan daripada MPA.

Walaupun kerugian besar namun Abdullah Isa bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat.

"Aidiladha kali ini tidak dapat disambut seperti tahun sebelum ini kerana kami perlu membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 4:47 PM