Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Rangkaian radio Media Prima Audio (MPA) akan menyalurkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat banjir dengan kerjasama Giant Malaysia.

Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk barangan keperluan menerusi penyediaan kotak sumbangan di Giant Kota Damansara, bermula minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, pihaknya berharap penyediaan bantuan barangan keperluan asas itu dapat meringankan beban mangsa banjir.

"Tidak cukup dengan ucapan dan doa, MPA akan menyediakan keperluan asas dan kami berharap sumbangan itu dapat membantu menangani kesusahan mereka.

"Kami berbesar hati dan gembira dapat bekerjasama dengan Giant Malaysia dalam memberikan sokongan kepada mangsa banjir," katanya.

Antara sumbangan yang akan diberikan adalah barangan keperluan seperti makanan, minuman, tuala, pakaian, lampin pakai buang, tuala wanita, kain batik, kain sarung dan keperluan solat.

Rangkaian radio MPA yang merangkumi lima stesen radio akan membawa kotak sumbangan yang sudah dikumpul bermula minggu ini ke kawasan yang dilanda banjir dan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kawasan yang terkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 4:38 PM