Nazri Noran
Nazri Noran
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Platform radio Media Prima, RIPPLE kini ditukar nama kepada Media Prima Audio atau MPA bersempena penjenamaan semulanya untuk tampil kompetitif serta hala tuju lebih strategik.

Penjenamaan baharu terbabit dilakukan dalam misi menjadikan industri penyiaran radio kembali meriah selain pemerkasaan kandungan agar lebih terkini serta mantap.

Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran berkata, tempoh masa diambil untuk merealisasikan perubahan itu begitu singkat namun padat berikutan pelbagai kajian secara keseluruhan dibuat secara terperinci.

"Penjenamaan baharu daripada RIPPLE ke Media Prima Audio ini adalah sebuah langkah strategik dalam misi kami menjadi penyiar audio nombor satu di Malaysia. Kami berazam mahu terus berkembang dengan bantuan khidmat penganalisa dalam memastikan pendengar terus melekat.

"Proses perincian dan kajian untuk perubahan ini dilakukan dalam tempoh dua bulan saja. Kajian dibuat siang malam sejak 1 Jun lalu dengan mengambil kira data perkembangan radio sedia ada serta tambahan perspektif daripada panel pengkaji kami.

"Kami bukan setakat menitikberatkan daripada aspek pertukaran penyampai semata-mata. Sebaliknya, daripada segi kandungan juga baik pengisian maklumat serta muzik terbaik," katanya.

Secara rasminya, dua stesen iaitu Hot FM dan Fly FM masih dikekalkan namanya. Bagaimanapun, Kool FM ditukar dan sekarang dikenali sebagai Buletin FM, manakala radio berbahasa Cina, One FM, kini dinamakan 8FM.

Mengulas mengenai pertukaran nama Kool FM kepada Buletin FM, Nazri berkata ia bertujuan menjadikan stesen terbabit sebagai saluran terbaik mendapatkan info berita terkini selain hiburan lagu-lagu popular sepanjang zaman.

"Kami mengambil nama Buletin Utama yang cukup ikonik untuk menukar namanya kepada Buletin FM. Kami mahukan segala berita dengan info tepat disampaikan menerusi stesen terbabit," katanya.

Selain Ally Iskandar dan Hawa Rizwana, pengacara Fedtri Yahya antara nama besar yang turut menyertai barisan penyampai Buletin FM. Fedtri bakal mengendalikan segmen Ilham Sanubari, dari jam 9 malam hingga 12 tengah malam.

Dalam pada itu, MPA juga teruja untuk memperkenalkan jenama aplikasi mudah alih terbarunya iaitu Audio+. Aplikasi itu akan menjadi pusat sehenti mendapatkan pelbagai kandungan radio, digital dan sosial antaranya siaran radio secara langsung, 'podcast', video dan banyak lagi.

Pendengar tidak perlu lagi memuat naik aplikasi secara berasingan mengikut stesen, tetapi kini boleh didapati semuanya menerusi Audio+. Aplikasi ini boleh dimuat turun menerusi Google Play, App Store dan Huawei AppGallery. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 11:04 AM