NADZMI Ashwa menyusun barangan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir. FOTO Rosli Ilham
NADZMI Ashwa menyusun barangan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Kesibukan menguruskan perniagaan tidak menghalang pelakon, Nadzmi Adhwa membantu mangsa banjir, di sini.

Nadzmi ketika ditemui ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Kuala Jengai, di sini, berkata, kerja amal yang dilakukan sejak tiga tahun lalu itu sudah sebati dengan jiwanya.

"Saya dan isteri, Ardell Aryana sudah lama melakukan kerja amal sebegini bagi membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

"Selain melakukan kerja amal di negara tercinta, kami turut membantu masyarakat luar seperti di Syria, Lubnan dan sebagainya.

"Setiap kali ada misi ke luar negara, saya akan bergilir-gilir dengan Ardell menyertai misi itu. Bila saya keluar, dia akan jaga anak kami, Arwa Malaika dan kalau dia keluar saya akan jaga Arwa," katanya.

Katanya, sebagai usaha meneruskan kerja amal itu, mereka menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Aryana (Aryana Care Organizations).

"Selepas misi banjir di Selangor tahun lalu, misi kami kali ini adalah membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

"Sejak Isnin lalu saya bersama 10 sukarelawan dengan kerjasama TXV (Trekker Venture) dan Ayer Sport yang membekalkan tiga buah bot ke Kelantan untuk membantu mangsa banjir,"katanya.

Katanya, misinya menyerahkan sumbangan pada kali ini di Kelantan digerakkan menghantar bekalan makanan kepada mangsa banjir yang tidak dapat keluar selepas jalan keluar ditenggelami banjir yang dalam sehingga kira-kira 10 meter dan berarus deras.

"Itulah cabaran kami selama empat hari di Kampung Pasir Putih, Pasir Mas dan Rantau Panjang di Kelantan dengan menggunakan tiga buah bot untuk berulang alik mengambil dan menghantar bekalan sehingga kita selesai mengagihkan kepada 300 penduduk di situ.

"Hari ini (semalam) pasukan kami ke Dungun dan kami selesai mengagihkan kepada 150 mangsa banjir di sini," katanya.

Nadzmi berkata, sepanjang misi bantuan di Kelantan dan Terengganu, dia dan rakan sukarelawan menumpang tidur di rumah rakan-rakan termasuk tidur di dalam khemah.

"Walaupun letih melakukan misi ini, kami sangat terharu apabila dapat melihat kesemua mangsa banjir tersenyum gembira dan berterima kasih kepada pasukan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2022 @ 4:41 PM