NADZMI dan Ardell (gambar kecil). FOTO arkib NSTP
NADZMI dan Ardell (gambar kecil). FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin


PELAKON dan penyanyi, Nadzmi Adhwa, 26, menegaskan hubungan rapatnya dengan pelakon Ardell Aryana, 28, masih lagi kekal dengan status teman baik.

Namun, Nazmi berkata, dia sangat menghargai doa baik-baik daripada peminat yang ingin melihat mereka naik pelamin bersama.

“Saya tahu memang ramai peminat yang mahu melihat kami bercinta betul-betul tetapi, demi Allah hubungan saya dan Ardell hanya sebagai teman baik dan rapat.

“Selain keluarga, Ardell adalah insan yang banyak memberi kata semangat kepada saya dan kami juga rakan perniagaan.

“Terus-terang, saya dan Ardell memang kami saling memberi dorongan dan semangat untuk bangkit di antara satu sama lain.

“Pun begitu, saya tegaskan kami bukanlah pasangan bercinta seperti yang diharapkan oleh kebanyakan peminat,” katanya.

Mengulas mengenai kriteria wanita pilihannya ada pada Ardell, pelakon drama Cinta Hati Batu di TV3 itu tidak menafikan.

“Kalau tanya saya, Ardell ada ciri-ciri wanita pilihan memang diakui ada. Apatah lagi, masakan dia (Ardell) sangat sedap.

“Saya memang suka makan apa saja yang dia masak sebab air tangannya enak. Malah, dia juga sering ingatkan saya untuk muhasabah diri.

“Dulu, saya pernah tidak kuat apabila terpalit dengan insiden hitam itu. Namun, dalam ramai rakan hanya Ardell seorang yang ada di sisi saya memberi semangat,” katanya.

Menurut Nadzmi lagi, apapun jika Allah SWT memang sudah takdirkan mereka ada jodoh, siapa dia untuk menolaknya.

Sehubungan itu, Nadzmi baru muncul dengan single Wanitaku hasil ciptaan sepenuhnya komposer Aiman Sidek.

Menariknya, Nadzmi juga mengundang Ardell kolaborasi bersama dalam lagu Wanitaku yang cukup diterima baik pendengar.

Baru sebulan muzik video rasmi single Wanitaku dimuat naik di YouTube sudah mencatat sebanyak 1.6 juta tontonan.

Bagaimanapun, Nadzmi menegaskan lagu Wanitaku itu bukan dihasilkan khusus dan istimewa buat Ardell.

Ujarnya, single Wanitaku itu ditujukan khas buat semua wanita kerana di sebalik kejayaan seorang lelaki pasti ada wanita yang memberi dorongan di belakangnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Disember 2018 @ 7:22 PM