KUGIRAN Masdo janji beri corak persembahan berbeza pada konsert di Zepp Kuala Lumpur.
KUGIRAN Masdo janji beri corak persembahan berbeza pada konsert di Zepp Kuala Lumpur.
Georgie Joseph


KUGIRAN Masdo bakal menyajikan corak persembahan paling istimewa pada konsert bersama band Indonesia, The Changcuters pada 29 Disember ini di Zepp Kuala Lumpur.

Cukup terkenal dengan kemampuan menakluk pentas dengan begitu bertenaga, peminat pastinya sudah boleh jangka bagaimana aura mereka.

Namun, untuk konsert itu nanti, pendekatannya berbeza.

Band dianggotai Ali Sariah (penyanyi, gitar), Putu Ceri (bass), Azham Ahmad (dram) dan Asmawi (gitar) itu mahu memastikan penonton dapat saksikan kelainan nanti.

Menurut Putu Ceri, apa yang akan mereka tampilkan nanti cukup berbeza dengan persembahan mereka sebelum ini selain akan ada elemen kejutan.

"Disebabkan itu peminat kena datang melihat sendiri dan berhibur bersama kami. Apa yang kami boleh kongsi adalah susunan muzik lagu dipersembahkan nanti lebih padu dan berbeza. Kami juga bakal menghadiahkan sebuah lagu baharu nanti," katanya.

Bergandingan dengan The Changcuters juga semestinya satu pencapaian besar.

Mana tidak, band dari Indonesia itu sudah mencipta nama dan bertapak kukuh memperjuangkan muzik era 50-an dan 60-an sejak awal era 2000.

The Changcuters cukup dikenali dengan aksi gila-gila atas pentas dan kerap menjadi bualan di Indonesia.

Justeru, Kugiran Masdo yakin kelebihan itu juga jadi penyeri terkuat pada konsert berkenaan.

THE Changcuters teruja kembali ke Malaysia.
THE Changcuters teruja kembali ke Malaysia.

"Sebenarnya, kami sudah mengenali mereka dan tidak susah untuk yakinkan mereka bergandingan pada konsert itu. Mereka pun pernah ke sini sebelum ini dan rindu untuk kembali hiburkan peminat Malaysia.

"Kami akan pastikan mereka bebas salurkan corak persembahan seperti mana sering mereka ketengahkan. Bagi kami, penampilan identiti asli mereka adalah tarikan yang sangat penting," kata Ali pula.

Kugiran Masdo yang menganjurkan sendiri konsert itu menerusi Kugiran Masdo Empire (KME) berharap gabungan itu menjadi lambang jelas betapa indahnya kesatuan pejuang muzik di sekitar negara serantau ini.

"Ini melambangkan muzik tempatan atau dari negara jiran tidak ada beza jika kita saling menghargai, menyokong dan menghormati," katanya.

Sementara itu, The Changcuters juga melahirkan keterujaan kembali ke Malaysia selepas sekian lama tidak membuat persembahan di hadapan peminat mereka di sini terutama buat Changcut Rangers.

"Tentu sekali lamaran yang diberi tidak akan disia-siakan. Kugiran Masdo adalah sebuah 'maniac' di Indonesia dan The Changcuters sangat berbesar hati untuk berkongsi panggung dengan mereka.

"Kami akan pastikan malam Kugiran Masdo X The Changcuters adalah detik yang tak mungkin dilupakan buat semua penggemar kami," kata mereka.

The Changcuters cukup terkenal dengan muzik 'garage rock'

dan sudah menakluk belantika muzik Indonesia seawal 2006 menerusi lagu seperti Rachun Dunia dan I Love You Bibeh. Maklumat mengenai tiket boleh layari tapautix.tapau.asia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Disember 2022 @ 6:30 AM