KUGIRAN Masdo mahu tarik lebih ramai pendengar. FOTO Zunnur Al Shafiq
KUGIRAN Masdo mahu tarik lebih ramai pendengar. FOTO Zunnur Al Shafiq
Najiy Jefri

Bermula dengan konsep indipendent (indie) dan underground, kini nama Kugiran Masdo dalam industri muzik tempatan semakin mendapat tempat

di hati pendengar.

Apa tidaknya, sejak lagu Bunga dimainkan di stesen radio tempatan, Kugiran Masdo pantas mendaki populariti sehingga lagu terbabit tersenarai dalam carta teratas setiap stesen radio.

Sebelum ini, Kugiran Masdo yang dianggotai Ali Sariah (penyanyi, gitar), Asmawi (gitar, penyanyi), Putu Ceri (bass, penyanyi) dan Azham Ahmad (dram) lebih dikenali dalam kalangan penggiat muzik underground dan indie.

Ali berkata, walaupun bermula sebagai kumpulan indie, mereka tiada masalah untuk bergerak ke muzik arus perdana dan percaya dengan komitmen yang dimiliki setiap ahli kumpulan.

“Rata-rata peminat sudah sedia maklum yang Kugiran Masdo sudah bergerak ke muzik arus perdana. Saya tidak melihat perjalanan kami terbatas kerana kami membuat persiapan rapi untuk masuk ke dalam industri muzik yang lebih luas ini.

“Walaupun segelintir peminat di Malaysia berpandangan muzik indie perlu kekal di lapangannya, saya mahu mengubah mentaliti itu apabila kami juga boleh bersatu dengan arus perdana.

“Lagipun, tidak salah untuk kami mengintai peluang dan menarik lebih ramai pendengar meminati muzik kami,” katanya yang memperjuangkan genre pop klasik dengan mengambil aura lagu Melayu era 1960-an digabung dengan pop masa kini.

Menurut Ali, kumpulan yang ditubuhkan pada 2015 itu juga tidak pernah menolak mengadakan persembahan berskala besar seperti dilaporkan sesetengah pihak, malah mereka sudah bersedia untuk mengadakan persembahan seperti majlis anugerah atau sebarang program yang membabitkan pentas besar.

“Kami tidak pernah menolak sebaliknya belum mendapat peluang untuk mengadakan persembahan pada acara langsung dalam mana-mana majlis anugerah.

“Jika diberikan peluang, kami berbesar hati menerimanya dan sudah bersedia kerana sebelum ini pun kami pernah mengadakan persembahan pada konsert mingguan program Mentor di TV3. Ia satu pengalaman baru dan manis buat kami,” katanya.

Tunda pergi London

Rakaman lagu baru yang bakal dibuat di London selepas mendapat pelawaan daripada kumpulan antarabangsa The Bootleg Beatles tahun lalu, terpaksa ditangguhkan seketika.

Putu Ceri berkata, rakaman itu terpaksa ditunda atas kekangan kewangan bagi menampung kos perbelanjaan di sana.

“Kami terpaksa tunda rakaman itu kerana berdepan masalah kewangan. Mengikut jadual kami akan berada di London selama seminggu, jadi ia memerlukan kos tinggi seperti penginapan, pengangkutan, tiket penerbangan dan kos rakaman,” katanya.

Namun, rakaman itu akan tetap dilakukan walaupun berdepan masalah kewangan.

“Jika tiada aral melintang, kami akan ke London pada November ini. Kami harap impian ini akan tercapai dan proses untuk ke sana berjalan lancar,” katanya.

Kugiran Masdo menerima pelawaan merakamkan single daripada The Bootleg Beatles selepas mereka membuat persembahan pembukaan sempena konsert jelajah kumpulan berkenaan di Kuala Lumpur tahun lalu.

Konsert sulung bersama Hujan

Kugiran Masdo juga bakal mengadakan konsert sulung berskala besar bersama kumpulan yang menjadi idola mereka, Hujan pada 6 Oktober ini di Pintu 2, MAEPS Serdang jam 8.30 malam.

Walaupun konsert bakal berlangsung dua bulan lagi, lebih 1,000 tiket sudah terjual setakat ini.

Ali berkata, tawaran mengadakan konsert itu ibarat mimpi menjadi kenyataan.

Menurut Ali, mereka akan bergabung dengan Hujan buat pertama kali dalam konsert berkonsep ‘battle of the bands’ itu.

KUGIRAN Masdo bakal adakan konsert sulung berskala besar bersama idola mereka, Hujan. FOTO Zunnur Al Shafiq
KUGIRAN Masdo bakal adakan konsert sulung berskala besar bersama idola mereka, Hujan. FOTO Zunnur Al Shafiq

Dalam konsep itu, kedua-dua kumpulan itu akan ‘bertarung’ untuk memberikan persembahan terbaik.

“Insya-Allah kami akan memberikan persembahan yang terbaik. Kami tidak sangka diberi peluang untuk berkongsi pentas dengan kumpulan idola kami.

“Kami akan bawakan sebuah konsert yang berbeza pernah ditampilkan sebelum ini. Selain itu, kami juga akan memperkenalkan single terbaru kepada peminat.

“Kami juga bercadang mengadakan satu tribute khas buat anggota kumpulan indie yang sudah meninggal dunia. Bagaimanapun, segala perancangan itu masih dalam perbincangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Ogos 2018 @ 8:49 AM