POPULARITI Kugiran Masdo juga membawa mereka mengembara ke negara jiran, Indonesia.
POPULARITI Kugiran Masdo juga membawa mereka mengembara ke negara jiran, Indonesia.
Ridzuan Abdul Rahman


MOMENTUM mereka dalam industri hiburan tanah air dirasakan terlalu pantas berputar. Dalam tempoh hanya lima tahun, Kugiran Masdo berjaya mencuri perhatian peminat dengan konsep muzik pop berasaskan 1960-an, namun digubah dan disesuaikan mengikut cita rasa kini.

Mulanya meniti kesusahan, Kugiran Masdo kini tersenarai antara artis mempunyai kelompok peminat tegar yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Lebih selesa menguruskan kerjaya sendiri, anggotanya, Ali Sariah sebagai penyanyi, Asmawi (gitar utama), Putu Ceri (bass) dan Azham Ahmad (dram) wajar berbangga kerana akhirnya mampu melaksanakan impian merakamkan album kedua di Abbey Road Studio, London pada Jun lalu.

Putu Ceri berkata, mereka sebenarnya menerima lagu ciptaan kumpulan The Bootleg Beatles ketika kumpulan itu bertandang ke Kuala Lumpur tahun lalu.

“Itulah permulaan apa yang berlaku. Anggota mereka, Adam yang menyamai anggota The Beatles, John Lennon tertarik habis dengan kami dan memberikan dua lagunya untuk dirakamkan.

“Apabila mendengar lagu ini, kami terfikir kenapa tak ke Abbey Road Studio terus untuk merakamkannya," katanya.

Impian mereka bukan mudah kerana kos merakamkan lagu di studio yang diabadikan sempena judul album ke-11 The Beatles itu bukan kecil.

KUGIRAN Masdo ketika rakaman album kedua di Abbey Road Studio, London.
KUGIRAN Masdo ketika rakaman album kedua di Abbey Road Studio, London.

Ali berkata, masalah utama dihadapi tentunya kekangan kewangan sehingga membuatkan perancangan yang sepatutnya berlangsung tahun lalu, ditangguhkan kepada tahun ini.

“Memang mulanya nampak agak mustahil dilaksanakan terutama memikirkan dari segi kos pembikinan mencecah RM150,000.

“Bagi merealisasikan impian ini, kami memang kena bekerja keras menyimpan wang sendiri. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana mendapat tajaan tiket Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dalam projek ini,” katanya.

Putu Ceri berkata, penangguhan turut berlaku membabitkan jadual penggunaan Abbey Road Studio yang sentiasa padat.

“Untuk tempah studio juga satu cabaran besar. Kami kena bersaing dengan pihak lain untuk menggunakannya.

“Kami juga terpaksa melalui proses undian terlebih dahulu. Kami kena ikut semua prosedur kerana memang berhajat merakamkan lagu di situ.

“Buat apa nak buang masa tukar ke studio lain. Bagaimanapun, kami puas hati walaupun hanya menggunakannya selama dua hari. Hasilnya pada kami memang berbaloi,” katanya.

Lumrah yang berlaku, Kugiran Masdo tidak terkecuali menjadi mangsa iri hati segelintir pihak yang memandang rendah usaha mereka.

“Kami tak kecil hati, malah ia terus membakar semangat untuk buat yang terbaik. Ia menguatkan semangat untuk kami terus kejar impian.

“Lagipun, apa yang dibuat bukan untuk membuktikan kehebatan kami kepada sesiapa sebaliknya lebih kepada mencari kepuasan sebenar dalam berkarya.

“Ia ditujukan buat peminat kerana tanpa mereka, kami tak mampu kerana tiada wang sebanyak itu untuk bergerak,” kata Putu Ceri.

HASIL rakaman album kedua di London Jun lalu dirasakan amat berbaloi. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman.
HASIL rakaman album kedua di London Jun lalu dirasakan amat berbaloi. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman.

Album mengandungi lima lagu terbitan AG Coco yang menggunakan judul Jalan Abbey itu sudah siap sepenuhnya, namun Kugiran Masdo masih memikirkan tarikh terbaik untuk memasarkannya.

“Kami harap album ini akan jadi inspirasi untuk band atau anak muda lain pasang impian untuk ke sana.

“Kita akan beroleh kejayaan selagi tak putus asa untuk mencuba. Insya-Allah kami akan pasarkan album itu pada tahun ini juga.

“Istimewanya, buat julung kali kami akan keluarkan 300 piring hitam dan disusuli cakera padat album ini. Juga akan ada ‘box set’ apabila banyak gambar perjalanan kami untuk rakaman ini akan dimuatkan,” kata Ali.

Mereka popular dengan lagu Kecundang, Ratu Hati, Tunggu Sekejap, Malam Bulan Di Pagar Bintang, Can't Help Falling in Love With You, Dinda, Teruna Dara, Berchanda di Malam Indah, Malam Pesta Muda Mudi, Bunyi Gitar dan Racun.

KUGIRAN Masdo akan terbabit dalam program Konsert Larian Malam Semarak Merdeka anjuran Sports Events Asia pada 15 September ini.
KUGIRAN Masdo akan terbabit dalam program Konsert Larian Malam Semarak Merdeka anjuran Sports Events Asia pada 15 September ini.

Populariti Kugiran Masdo juga membawa mereka mengembara ke negara jiran, Indonesia.

Bagaimanapun, keghairahan menghiburkan peminat di sana hampir membawa padah apabila mereka hampir ditahan pihak berkuasa di sana.

“Kami baru cuba masuk ke Indonesia secara perlahan-lahan. Sebelum ini kami diundang oleh seorang kenalan untuk menjayakan persembahan ‘kawan-kawan’ di sebuah kafe.

“Rupanya ia menyalahi peraturan kerana rakan ini tidak memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Ketika beraksi menyanyikan lagu ketiga, pihak berkuasa di sana datang. Mujurlah ia diselesaikan secara baik menerusi perbincangan,” kata Putu Ceri.

Dalam pada itu, Kugiran Masdo akan terbabit dalam program Konsert Larian Malam Semarak Merdeka anjuran Sports Events Asia pada 15 September ini.

“Anggota Kugiran Masdo akan terbabit dalam larian di sekitar kawasan Universiti Malaya dan mengadakan persembahan untuk majlis penutup di Dataran Dewan Tunku Canselor (DTC), Universiti Malaya selama satu jam.

“Dijangka kira-kira 2,000 peminat akan mengambil bahagian dan menyaksikan persembahan kami.

“Mereka yang bertuah apabila mendaftar untuk larian ini akan memiliki pingat larian edisi terhad Masdo dan baju-T khas larian dengan tandatangan Masdo,” kata Ali.

Keterangan lanjut berkenaan acara itu boleh didapati menerusi laman sesawang https://sportsevents.asia/event/semarakmerdekanightrun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 5:25 AM