Eight Apex
Eight Apex

Kumpulan K-Pop meningkat naik, Epex bakal tampil pada konsert sulung dinamakan 'Epex 1st Concert (Eight Apex) in Kuala Lumpur 2023' bertempat di Zepp Kuala Lumpur pada 6 Januari depan.

Dianggotai Wish, Keum, MU, A-Min, Baekseung, Ayden, Yewang dan Jeff penampilan mereka pasti dinantikan peminat.

Konsert ini dibawakan oleh Rocketfuel Entertainment dengan kerjasama syarikat pengurusan artis Korea Selatan terkenal, C9 Entertainment.

Ketua Rocketfuel Entertainment Feros Sayna berkata, penganjuran konsert berkenaan adalah selaras dengan usaha pihaknya memperkenalkan rangka terbaharunya sejajar dengan tahun ke-10 penubuhannya.

Menurutnya, pihaknya membawakan hiburan berbentuk fizikal seperti konsert oleh artis dalam negara antaranya 'An Evening with Hael Hussaini', 'Mimpi Showcase', 'A Night with Ara Johari' dan langkah seterusnya membawakan persembahan artis antarabangsa ke negara ini.

"Sebagai permulaan, Epex dipilih menghiasi diari tahun baharu pada 2023 nanti, mereka dipilih kerana potensi dalam bidang muzik dimiliki selain masih muda dan berbakat serta dikatakan menjadi 'the next big thing' di persada muzik K-pop.

"Epex adalah singkatan bagi 'Eight Apex' yang bermaksud pengumpulan lapan anak muda yang melangkaui lapan lapisan 'apex' yang berbeza membentuk sebuah kumpulan yang lengkap dan dinamik.

"Epex sebelum ini dikenali sebagai C9rookies." katanya dalam satu kenyataan.

Album EP pertama mereka berjudul 'Bipolar Pt. 1' dilancarkan pada 8 Jun tahun lalu dan berjaya melonjakkan nama mereka sekali gus menjadikan salah satu band K-pop makin dikenali.

Mereka turut memenangi anugerah 'The Male Idol in The Rise' di Hallyu Influencer Grand Prize Awards dan juga anugerah 'Rookie of The Year' di Seoul Music Awards serta beberapa anugerah yang lain pada tahun ini.

Menurut Feros lagi, Rocketfuel Entertainment ingin menjadi peneraju dalam mempersembahkan hiburan dalam bentuk fizikal seperti showcase, mini konsert dan juga konsert berskala besar.

"Kebanyakan pengunjung yang hadir pada acara muzik kami sebelum ini menyatakan mereka tidak puas mendengar dan mahu berhibur lagi, jadi kami mengambil langkah berani dengan membawakan artis dari luar bagi memenuhi selera pendengar masa kini.

"Tempoh perancangan konsert 'Epex 1st Concert (Eight Apex) in Kuala Lumpur 2023' bermula Jun lalu. Peminat akan dihiburkan dengan persembahan memukau selama dua jam tanpa henti dan pastinya ada kejutan yang bakal dibuat, oleh itu rugi bagi sesiapa yang terlepas peluang keemasan ini.

"Sebagai tambahan, ini merupakan konsert pertama seumpamanya oleh Epex dan mereka tidak pernah membuat konsert di mana-mana lokasi bahkan di negara mereka sendiri dan pastinya ini adalah momen wajib ditonton oleh kesemua peminat K-pop di negara ini," kata Feros Sayna.

Tiket dijual pada 18 November ini bermula jam 12 tengah hari mengikut kategori seperti Rockstar (RM488), Rockzone (RM388) dan juga Cat 1 (RM288).

Dapatkan informasi terkini berkenaan konsert ini di laman media sosial Rocketfuel Entertainment.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 1:43 PM