Hael Husaini. Foto dari Instagram
Hael Husaini. Foto dari Instagram
Oleh Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Komposer juga penyanyi sensasi, Hael Husaini, 34, mengakui dia tetap dalam keadaan sihat walaupun tubuhnya kini kelihatan semakin kurus.

Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi ditemui baru-baru ini berkata, memang dia kurus, tapi alhamdulillah keadaan dirinya sihat dan itu paling penting.

"Berat saya sekarang berapa kilogram, rasanya tiga kampit beras ni (kira-kira 30 kilogram). Tapi, berbanding berat dulu dan sekarang, ia lebih kurang saja.

"Saya nampak kurus, sebenarnya banyak benda yang kena 'cut' (potong). Sebabnya, dalam masa saya nak sembuh kerana kurang sihat banyak benda yang kena jaga dari segi kesihatan dan pemakanan," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Hael juga mengesahkan dia terpaksa akur membatalkan Konsert Hael Husaini Live In KL yang sepatutnya berlangsung pada 19 Februari lalu kerana faktor masalah kesihatannya walaupun persiapan sudah siap dibuat sebanyak 70 peratus.

Penyanyi lagu Jampi dan Haram ini turut menafikan pembatalan itu ada hubung kait dengan jualan tiket yang tidak laku. Katanya, keputusan diambil secara sepakat dengan pihak pengurusan, Rocketfuel Entertainment selepas mengambil kira nasihat daripada doktor.

"Saya kena berehat dan tidak terbabit dalam apa-apa konsert dulu agar tidak menjejaskan masalah kesihatan dalam tempoh yang lama. Insya-Allah, saya berharap dapat merealisasikan konsert pada tahun ini juga.

"Apapun, suatu hari nanti tiba masanya saya yakin pasti konsert solo saya dapat diadakan. Sebabnya, saya mempunyai impian tinggi, tapi biarlah perlahan-lahan untuk mencapainya dan cuba membuat yang terbaik," katanya.

Terbaharu, penampilan imej dan wajah terkini Hael juga menjadi perhatian netizen apabila didakwa semakin mirip dengan penyanyi terkenal antarabangsa, mendiang Michael Jackson (MJ) sehingga tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 6:49 PM