ADEL tersingkir pada konsert bertemakan
ADEL tersingkir pada konsert bertemakan
ADEL (tengah) akur
ADEL (tengah) akur
EWAL (kiri)
EWAL (kiri)
Syanty Octavia Amry

Persembahannya sentiasa konsisten setiap minggu, malah pengetua, Datuk Hattan memilihnya sebagai pelajar terbaik berikutan sering memberikan persembahan yang memuaskan hati semua tenaga pengajar.

Namun itu bukan jaminan buat peserta dari Sabah, Adeline Joyce Masidah atau Adel, 21, untuk mara ke peringkat akhir.

Sebaliknya dia terpaksa akur apabila perjalanannya sebagai peserta Akademi Fantasia 2014 (AF2014) terhenti setakat minggu ketujuh saja.

Bertemakan Remy & Sally, lagu-lagu yang dipersembahkan adalah nyanyian daripada Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarhamah Puan Sri Saloma.

Menerusi lagu Jelingan Manja yang dinyanyikan Adel, hanya kerana seorang juri yang menilai persembahannya seperti kurang menyengat menyebabkan pengundi terlupa untuk mengundinya.

Bertemunya selepas tamat konsert yang diadakan malam Ahad lalu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Adel berkata, sejak awal dia sudah bersedia andai kata namanya yang disebut sebagai pelajar tersingkir pada konsert berkenaan.

"Saya sentiasa bersedia dengan penyingkiran yang berlaku. Apabila nama diumumkan tersingkir pada minggu ketujuh ini saya tidak terkejut kerana sedar ramai peserta yang lebih bagus daripada saya.

"Antara yang saya lihat mempunyai bakat besar ialah Ewal, Nuha dan Firman. Mereka mempunyai kelebihan dan rezeki masing-masing sudah tertulis setakat mana.

"Begitu juga dengan saya yang perlu akur apabila rezeki saya dalam AF2014 hanya mampu bertahan setakat minggu ketujuh," katanya yang baru pertama kali menyertai pertandingan realiti televisyen.

Tidak menyalahkan mana-mana pihak atas penyingkirannya, Adel berkata, selepas ini dia akan menjalani kehidupan seperti biasa dan yakin rezekinya dalam bidang seni sentiasa terbuka luas.

Menjadikan Stacy sebagai idola dalam AF, Adel turut berharap satu hari nanti dapat menghasilkan lagu ciptaannya sendiri.

"Penyingkiran ini bukan bermakna kerjaya seni saya terus terhenti. Malah, saya sedikit pun tidak mengharapkan undi masuk. Namun jika itu yang diberikan pihak Astro, saya terima saja," katanya.

Sementara itu, Hattan berkata, perkara ini terjadi mungkin kerana kekeliruan pengundi terhadap komen yang diberikan hanya seorang juri.

Justeru dia berharap selepas ini ketiga-tiga juri diberi peluang untuk memberi kritikan kepada setiap peserta selepas mereka membuat persembahan.

"Saya akui memang terkejut mendengar nama Adel yang disebut sebagai peserta tersingkir. Jujur saya katakan, ketika mendengar tiga nama disebut mempunyai markah paling rendah saya sangkakan Nina yang akan terkeluar.

"Bukan kerana Nina tidak bagus, tetapi ada beberapa perkara seorang penghibur yang sepatutnya tidak dilakukan Nina. Pada saya penghibur perlu ada gaya tersendiri tidak perlu untuk menjadi orang lain.

"Berbeza dengan Adel, sepanjang melihat perkembangannya dalam AF2014 dia mempunyai kelebihan sebagai penghibur. Beri apa saja jenis muzik dia boleh membawakannya dengan baik mengikut gaya persembahannya sendiri.

"Walaupun dia tersingkir, saya yakin kerjayanya akan terus berkembang sebagai anak seni," katanya.

Hattan berkata, dia juga sangat berharap pengundi lebih sensitif dan mengundi tidak hanya kerana minat semata-mata, tetapi menilai bakat yang dimiliki setiap peserta.

"Minggu ketujuh ini dapat saya lihat setiap pelajar sudah menunjukkan persembahan yang konsisten. Masing-masing sudah keluar daripada sikap malu-malu dan kurang yakin.

"Kalau diikutkan hati semua pelajar saya mahu kekalkan sehingga ke peringkat akhir. Namun seperti konsep program yang tertulis Realitinya Di Sini, kita perlu akur dengan modul program.

"Apa pun saya berharap pada konsert akan datang tidak ada lagi peserta yang berbakat disingkirkan," katanya.

Pada konsert minggu ketujuh itu, turut menyerikan persembahan ialah penyanyi Nurul Depp, Ringgo dan Arif Kilauan Emas serta The Lomas.

Panel juri diketui Raja Azura, juri tetap Datuk Ramli MS dan Erra Fazira sebagai juri jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Oktober 2014 @ 5:02 AM