Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam : Jenazah pelakon veteran, Allahyarham Hisham Ahmad Tajuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini, jam 10.30 pagi hari ini.

Hisham yang dirawat di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW) Hospital Shah Alam sejak 29 September lalu meninggal dunia jam 4.30 petang semalam.

Anak tunggalnya, Aqeela Mohd Hisham, 26, berkata, dia bersama suami dan ibunya berada di sisi ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

"Sejak doktor maklumkan keadaan abah semakin tenat, kami memang sentiasa ada dengannya. Pemergian abah pun dalam keadaan yang mudah," katanya.

Menurut Aqeela, Hisham, 76, mula berehat daripada dunia lakonan sejak 2019.

"Abah dah tak aktif berlakon sejak 2019 lagi. Kemudian ketika pandemik Covid-19 sampailah sekarang, dia memang banyak berehat di rumah.

"Dia bukan jenis orang yang suka keluar, tetapi kalau ada aktiviti membabitkan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), dia akan turut serta," katanya.

Hisham sebelum ini dilaporkan kritikal akibat jangkitan kuman dalam paru-paru dan ditidurkan.

Terdahulu, jenazah Hisham dimandi dan disolatkan di Masjid Seksyen 18, di sini.

Selama aktif sebagai pelakon, Hisham sudah membintangi banyak drama dan filem.

Antara filem Tsu Feh Sofiah, Wira Angkasa, Hanny, Putera, Black Maria, Dalam Hati Ada Cinta, Tanah Kubur dan Tok Ayah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 11:48 AM
Anak Allahyarham Hisham Ahmad Tajuddin, Aqeela bersama suaminya, Hairudin.
Anak Allahyarham Hisham Ahmad Tajuddin, Aqeela bersama suaminya, Hairudin.