Hisham Ahmad Tajuddin.
Hisham Ahmad Tajuddin.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: "Ayah saya masih lagi dalam keadaan kritikal, ditidurkan dan bernafas sepenuhnya dengan alat bantuan pernafasan. Hari ini, doktor juga memberikannya dos antibiotik yang lebih kuat," kata anak pelakon veteran, Hisham Ahmad Tajuddin iaitu Aqeela Mohd Hisham, 26.

Aqeela dihubungi berkata dia dan keluarga memohon orang ramai agar membantu bersama-sama mendoakan keadaan kesihatan bapanya yang kini berusia 76 tahun itu untuk sedar dan kembali pulih semula.

"Buat masa ini, kami sekeluarga hanya mampu berdoa kepada Allah SWT dan menyerahkan kepada doktor untuk merawat ayah sehingga pulih semula. Keadaan yang berlaku kepada ayah sekarang amat mengejutkan kami sekeluarga.

"Ada juga perasaan terkilan kerana mengenangkan ayah kini kritikal akibat jangkitan kuman yang sudah merebak dalam organ dalaman. Pada mulanya, dia hanya batuk biasa saja dan kami tak sangka hingga jadi begini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aqeela, bapanya juga tidak pernah mengalami sakit teruk sebegini sebelum ini. Malah, katanya, bapanya juga bukan seorang perokok dan hanya mempunyai sejarah penyakit kencing manis dan darah tinggi yang menjalani pemeriksaan doktor setiap bulan.

"Kini, saya dan seluruh keluarga memohon kepada orang ramai untuk bersama-sama mendoakan ayah saya agar sihat semula. Diberikan kesembuhan oleh Allah kepadanya daripada segala penyakit dihidapi.

"Mana tahu, dalam ramai orang yang membantu mendoakan ayah, ada antara doa mereka yang Allah angkat dan seterusnya ayah mendapat kesembuhan semula. Apapun, saya juga berterima kasih kepada semua yang sudah bersama-sama mendoakan ayah saya," katanya lagi.

Menerusi Harian Metro semalam, keadaan Hisham dilaporkan kritikal akibat jangkitan kuman dalam paru-paru dan dirawat di Wad Kebergantungan Tinggi (HDW), Hospital Shah Alam (HSA) sejak Khamis lalu. Malah, difahamkan Hisham mengalami batuk teruk sejak seminggu lalu.

Hisham adalah pelakon yang aktif dalam arena drama dan filem tanah air sekitar 1980-an dan kini, pesara kerajaan itu banyak menghabiskan waktu di rumah bersama keluarga kerana faktor usia dan penjagaan kesihatannya.

Antara filem dan drama lakonannya adalah Tsu Feh Sofiah, Wira Angkasa, Hanny, Putera, Black Maria, Dalam Hati Ada Cinta, Tanah Kubur, Tok Ayah dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 8:19 PM