Asfan Shah (dua kanan) pada majlis pengkebumian bapanya.
Asfan Shah (dua kanan) pada majlis pengkebumian bapanya.
Syafil Syazwan Jefri

 

Kuala Lumpur: Bapa kepada penyanyi dan komposer Asfan Shah iaitu Shah Rudin Mohd Noor, 65, yang meninggal dunia pagi ini. 

Asfan ketika dihubungi berkata, ibu dan bapanya yang menetap di Melaka mula tinggal bersamanya di Shah Alam sejak beberapa bulan lalu untuk memudahkan proses rawatan dan penjagaan memandangkan bapanya menghidap kanser paru-paru tahap empat. 

"Memang sedih, tetapi pada masa sama, saya bersyukur sebab Allah izinkan saya untuk berkhidmat buat abah dalam empat ke lima bulan terakhir ini. 

"Daripada ketika dia masih bercakap dan berjalan, sehinggalah dia tak dapat melakukan aktiviti-aktiviti itu. Sampai dia kena tulis di kertas untuk beritahu sesuatu. 

"Di pagi Jumaat ini, pada waktu Subuh, Allah jemput abah kembali kepada-Nya," katanya kepada Harian Metro. 

Berkongsi mengenai keadaan kesihatan bapanya sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Asfan berkata, bapanya bergantung kepada mesin oksigen. 

"Di rumah, saya ada sewa mesin oksigen untuk bantuan pernafasan abah. Memang dia terpaksa gunakan mesin itu untuk bernafas. 

"Pagi tadi, sewaktu bangun untuk solat Subuh, adik saya maklumkan bahawa abah tak bergerak. Selepas selesai solat, saya periksa keadaan abah. 

"Badannya masih suam-suam, tetapi memang dah tak bergerak. Bila saya periksa nadi pun, memang tak ada," katanya. 

Menerusi hantarannya di media sosial, Asfan yang juga penyanyi dan komposer berkongsi video selepas jenazah bapanya selamat dikebumikan. 

"Alhamdulillah, selesai semua pengurusan utk arwah abah selepas solat Jumaat.

"Jazakallah Guru Maulana Helmi dan semua sahabat yang hadir, semua saudara mara yang hadir dan panjatkan doa untuk kami. 

"InsyaAllah Allah membalas jasa kalian. Rindu abah," tulisnya.

Jenazah Shah Rudin disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu Subang. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 8:31 PM