Kuala Lumpur: Neelofa akhirnya menamatkan teka-teki netizen mengenai wajah anaknya, Muhammad Bilal apabila dia memuat naik gambar memaparkan wajah bayi berusia lapan bulan itu di Instagram, hari ini.

Neelofa memuat naik pelbagai gambar dan video Bilal bersama dirinya dan suami, PU Riz dari saat dilahirkan hinggalah hari ini.

Penantian ramai untuk menyaksikan wajah Bilal terbukti apabila dalam tempoh 50 minit dimuat naik, ia menerima lebih 270,000 tanda suka dan hampir 15,000 komen di Instagram.

Antara yang meninggalkan komen termasuk rakan artis seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nora Danish, Shuib, Lisa Surihani, Awal Ashaari, Scha Alyahya, Jihan Muse, Fasha Sandha, Uyaina Arshad dan ramai lagi termasuk peminat.

Rata-ratanya menyifatkan Bilal terlalu comel serta mendoakan semoga Bilal menjadi anak yang soleh. Malah, ada yang mengatakan wajah Bilal iras sepupunya, Jebat Jayden yang juga anak kepada kakak Neelofa iaitu Noor Nabila bersama pelakon, Sharnaaz Ahmad.

GAMBAR Muhammad Bilal yang dikongsi Neelofa dan suaminya, PU Riz.
GAMBAR Muhammad Bilal yang dikongsi Neelofa dan suaminya, PU Riz.

Dalam hantaran itu, Neelofa turut menzahirkan isi hatinya kepada putera kesayangan hasil perkahwinannya dengan Riz.

"Cinta dan sayang pada anakku Bilal. Antara kecintaan tertinggi dan teragung ummi di dalam hidup ini.

"Tiada yang lebih menyayatkan hati selain anak ummi ini disakiti, pasti semua ibu kasih dan cintakan anak mereka apatah lagi sewaktu mereka kecil," tulisnya.

Menurut Neelofa, kehadiran Bilal adalah satu anugerah yang menyempurnakan kehidupan rumah tangganya.

"Bilal anak ummi sayang. Allah zahirkan kamu dalam hidup ummi dan abah begitu sempurna. Jika kekayaan yang nak dibandingkan, maka kaulah yang paling berharga buat ummi dan abah.

"Jika keselesaan yang ditaruhkan, tiada taruhan yang dapat dibandingkan dengan senyumanmu. Sungguh ini adalah hadiah yang Allah kurniakan dalam hidup ummi menjadi penyejuk mataku. Syukur yang tiada penghujung pada-Mu ya Allah," tulisnya.

MUHAMMAD Bilal.
MUHAMMAD Bilal.

Neelofa juga turut mendoakan Bilal agar menjadi asbab agama Islam tersebar ke seluruh alam.

"Ummi doakan Bilal menjadi asbab agama tersebar seluruh alam. Terima kasih wahai Allah Yang Menzahirkan anak ini kepada kami.

"Semoga Afiyyah sentiasa untuknya. Semoga fakih dia dalam agama. Semoga doanya adalah seperti disebut nabi, doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Oktober 2022 @ 10:36 PM