GITAR yang dibuat perusahaan di Jerman, Framus. FOTO Julien's Auctions
GITAR yang dibuat perusahaan di Jerman, Framus. FOTO Julien's Auctions
Agensi

New York: Sebuah gitar yang sudah lama hilang milik John Lennon dan ditemui semula akan dipamerkan dan dilelong di New York City pada Mei ini.

Gitar itu dijangka berharga lebih AS$600,000 hingga AS$800,000 (kira-kira RM2.86 juta hingga RM3.81 juta).

CBS News melaporkan pameran gitar itu adalah sebahagian daripada acara pameran di Hard Rock Cafe di Times Square dari 22 hingga 28 Mei depan.

Pameran dibuka secara percuma kepada orang ramai dari jam 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Buat masa ini gitar Lennon itu dipamerkan di Hard Rock Cafe Piccadilly Circus di London hingga 29 April.

Gitar Lennon hanyalah satu daripada item dalam acara 'Ikon Muzik' Julien's Auctions.

Lelongan akan diadakan dalam talian di JuliensAuctions.com dan di Hard Rock Cafe di Times Square dari 29 hingga 30 Mei bermula jam 10 pagi setiap hari.

Lennon menggunakan gitar akustik Hootenanny Framus 12-string pada tahun 1960-an, terutamanya semasa The Beatles merakam album mereka 'Help!' dan semasa penggambaran filem dengan nama yang sama.

Menurut Julien's Auctions, gitar itu tidak pernah dilihat sejak lebih 50 tahun lalu, tetapi baru-baru ini ia ditemui di loteng sebuah rumah di kawasan luar bandar British ketika pemilik rumah sedang berpindah. Sarung gitar asal juga ditemui di tempat penginapan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:48 PM