PU Riz bersama keluarganya.
PU Riz bersama keluarganya.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Kami tunjuk wajah anak untuk sifarkan tohmahan," kata pendakwah bebas dan selebriti, Ustaz Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz mengenai keputusan isterinya juga selebriti terkenal Neelofa berkongsi wajah anak mereka, Muhammad Bilal di Instagram, semalam.

Riz, 27, berkata, setiap tindakan dan apa pun yang hendak dilakukan perlu disertakan dengan akhlak.

"Bagi saya, jangan keterlaluan dan melampaui batas agama. Tidak kisah anak siapa pun, selebriti atau orang biasa. Tidak elok jika kita bercakap sesuatu yang tak baik kepada anak orang lain. Perlu fikir apa perasaan ibu bapa itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Riz, dia sedih dengan tindakan segelintir pihak yang menyunting wajah anaknya selepas terdapat individu tidak bertanggungjawab menularkan penampilan Bilal di tempat umum.

"Kami sebagai ibu bapa sedih dengan sikap segelintir orang kita. Kalau saya, memang tak tergamak nak buat begitu kepada anak orang lain. Walaupun kenal baik atau tak dengan kita, itu bukan cara dan tindakan yang betul. Malah, tak perlu nak sentuh sampai tahap begitu.

"Hargai ciptaan Allah SWT. Jangan ubah. Sebagai manusia ia tindakan biadab dan kurang adab. Sebab itu saya nyatakan, apa saja nak dibuat kena dilakukan dengan akhlak. Malah, siap ada mesej saya suruh bertabah dan sebagainya. Bagi saya itu dah macam satu fitnah," katanya.

Dalam masa sama, Riz mengucapkan terima kasih kepada semua peminat, pengikut di laman sosial dan rakan artis yang sentiasa menitipkan kata-kata dan doa yang baik buat mereka sekeluarga.

"Saya sempat baca komen yang ditulis, alhamdulillah, ramai lagi yang sayangkan Bilal dan kami sekeluarga. Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan yang baik-baik. Harapnya, mereka yang teringin sangat nak ambil tahu mengenai anak kami, sudah boleh melihat sepuasnya," katanya.

Sebelum, tular beberapa foto dan video yang memaparkan wajah Bilal ketika didukung Neelofa.

Namun, foto sama juga disunting dengan pelbagai bentuk wajah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malam tadi, Neelofa menamatkan teka-teki netizen mengenai wajah Bilal apabila dia memuat naik gambar memaparkan wajah bayi itu di Instagram.

Neelofa memuat naik pelbagai gambar dan video Bilal bersama dirinya dan suami, PU Riz dari saat dilahirkan hinggalah hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 11:22 AM