AARON (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Inisiatif Harmoni MADANI hari ini. Turut hadir, Saraswathy (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof (kanan). FOTO Bernama
AARON (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran Inisiatif Harmoni MADANI hari ini. Turut hadir, Saraswathy (kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datuk Azman Mohd Yusof (kanan). FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) hari ini melancarkan Inisiatif Harmoni MADANI bertujuan meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia mengenai kepelbagaian agama, budaya dan adat resam di negara ini.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif itu juga bertujuan membudayakan amalan menyebarkan mesej keharmonian dan muhibah antara penganut pelbagai agama.

Beliau berkata pelbagai program dirangka bagi melaksanakan usaha itu seperti jelajah turun padang dan wacana mengetengahkan konsep asas integrasi nasional iaitu 'Faham, Hormat dan Terima' bagi memastikan budaya keharmonian antara masyarakat sentiasa terpelihara.

"Kepelbagaian merupakan warisan sejarah pembentukan masyarakat Malaysia yang seharusya dirai dan dipelihara agar perpaduan dan keharmonian dapat dikekalkan.

"Walaupun wujud perbezaan daripada kepelbagaian yang menjadi cabaran dalam mengukuhkan perpaduan namun jika ianya diuruskan dengan baik, kepelbagaian ini menjadi kekuatan negara dalam membentuk masyarakat Malaysia yang harmoni dan bersatu-padu," katanya pada Majlis Pelancaran Inisiatif Harmoni MADANI di sini, hari ini.

Sempena pelancaran inisiatif itu, Aaron dan timbalannya K Saraswathy bersama kira-kira 100 peserta berjalan kaki mengunjungi tujuh rumah ibadat seperti surau, kuil, tokong dan gereja di sekitar Brickfields sebagai simbolik kesatuan dan kebersamaan rakyat Malaysia.

Kunjungan sedemikian sebelum ini telah dilaksanakan di beberapa lokasi di seluruh negara dan akan diteruskan di Sabah pada Mei ini, Sarawak dan Perlis pada Jun serta Melaka pada November.

Sementara itu, Aaron berkata kementeriannya sedang memuktamadkan penganjuran Sambutan Hari Toleransi Sedunia yang akan diadakan di Melaka pada 16 Nov depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:59 PM