Calon PH, Pang Sock Tao,  Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Calon PH, Pang Sock Tao, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Hulu Selangor: Calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao enggan melayan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan semula ucapannya mengkritik Barisan Nasional (BN) semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, fokusnya kini adalah PRK Kuala Kubu Baharu dan menyampaikan agenda serta pembangunan yang mahu dibawa di kawasan ditandinginya.

"Saya akan fokus pada kempen PRK di Kuala Kubu Baharu dan menyampaikan agenda manifesto saya tentang apa pembangunan yang akan dibawa," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai sesi Penamaan Calon di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah di sini, hari ini.

Sock Tao berkata, aspek kebajikan golongan muda dan wanita antara yang ingin dibawa olehnya sepanjang kempen ini.

Beliau juga memaklumkan mahu meneruskan perancangan pembangunan di Kuala Kubu Baharu dibawa oleh penyandang, Lee Kee Hiong sebelum ini.

"Kebajikan anak muda dan golongan wanita amat dekat di hati saya. Sudah tentu perancangan atau dasar-dasar baharu untuk memperkasakan golongan anak muda dan wanita akan dimasukkan dalam manifesto saya yang akan dilancar nanti," katanya.

PRK Kuala Kubu Baharu yang akan berlangsung pada 11 Mei depan bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Dalam pertandingan kali ini, Sock Tao bakal ditentang tiga lagi calon.

Beliau bakal berhadapan dengan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut serta dua lagi calon iaitu Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 1:50 PM