Bilal di samping adiknya, Abdullah Abbas.
Bilal di samping adiknya, Abdullah Abbas.

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara terkenal, Neelofa berkongsi nama Abdullah Abbas sebagai nama buat putera keduanya yang dilahirkan pada 11 Julai lalu.

Dalam hantarannya di Instagram, Neelofa yang juga usahawan berkata, nama Abdullah Abbas adalah gabungan dua nama dengan kisah tersendiri.

"Nama putera kesayangan kedua kami pula adalah Abdullah Abbas. Nama yang paling disukai Allah antaranya, Abdullah, maka, permulaan namanya adalah 'Abdullah'.

"Manakala, 'Abbas' pula, Nabi SAW sendiri pernah doakannya (Ibn Abbas). Dan berkat doa Nabi, maka, taawilan Ibnu Abbas walaupun pada usianya yang muda, ternyata sangat fakih (bijak)," tulisnya.

Tambah Neelofa, dia dan suami, PU Riz atau Haris Ismail mengharapkan agar putera kedua mereka itu dipilih Allah untuk menjadi dai (pendakwah) yang akan menyampaikan dakwah ke seluruh alam.

"Jadi, harapan umi dan abah adalah, supaya Abdullah Abbas ini juga dipilih Allah menjadi dai yang akan menyampaikan dakwah seluruh alam.

"Bahagia seorang ayah dan ibu atas kurniaan ini, hanya Allah sahaja yang tahu," tulisnya.

Dalam hantaran sama, Neelofa turut berkongsi rasa cintanya kepada kedua-dua cahaya matanya, Bilal dan Abbas.

"Seperti mana lahirnya Muhammad Bilal, perasaan hiba dan sayang buat Abdullah Abbas juga terjalin. Bukan sekadar perasaan yang hendak dicoret tetapi hasrat untuk memberitahu kenapa Bilal dan Abbas yang dipilih," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 5:11 PM