Exists
Exists
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Kumpulan Exists melahirkan perasaan gembira apabila tiket Konsert Resolusi Exists yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur kini semakin rancak terjual.

   Anggotanya Musa Radhi berkata, kemunculan mereka menerusi program Gegar Vaganza minggu lalu turut menjadi faktor peminat membeli tiket konsert terbabit. 

   "Walaupun kami hanya ditampilkan sebagai tetamu, tapi impak lagu-lagu yang dinyanyikan peserta menjadi penyebab jualan tiket bergerak laju. 

   "Kami faham selain Konsert Resolusi Exists, banyak konsert-konsert lain juga berlangsung pada tarikh hampir sama. 

Orang yang membeli tiket pun sebenarnya orang yang sama.

   "Jadi mereka terpaksa bahagikan nak beli yang mana dulu dan kemudian. Mereka adalah penyokong industri muzik yang tulen," katanya kepada Harian Metro.

   Menurut pemain bass Exists ini, mereka menyedari dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, kuasa membeli setiap orang agak sedikit merosot. 

   "Mungkin orang terpaksa berfikir dua tiga kali untuk buat keputusan beli tiket. Nak beli sekarang atau kemudian, atau nak beli tiket yang itu atau ini.

   "Di situ banyak timbang tara yang perlu dilakukan oleh setiap individu dalam perkara ini. 

   "Peranan kami pula memandangkan tarikh sudah ditetapkan, kami kena terus berlatih untuk bagi yang lebih sempurna," katanya. 

  Musa berkata, anggota Exists bersedia turun padang untuk setiap aktiviti promosi yang diaturkan oleh penganjur. 

   "Terima kasih kepada semua penyokong kami dan rancangan GV juga kerana berikan sedikit lonjakan kepada jualan tiket konsert," katanya. 

  Konsert Resolusi Exists menampilkan tiga penyanyi iaitu Mamat, Pasha dan Eiz. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Oktober 2022 @ 12:17 PM