Muhammad Zulikhwan (kanan, baju biru) dan Abdul Rahman (kiri) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini,  atas kesalahan mencuri dua ekor lembu milik seorang peniaga kedai makan, dua minggu lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Muhammad Zulikhwan (kanan, baju biru) dan Abdul Rahman (kiri) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini,  atas kesalahan mencuri dua ekor lembu milik seorang peniaga kedai makan, dua minggu lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Dua lelaki didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan mencuri dua ekor lembu baka Brahman, milik peniaga kedai makan, dua minggu lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Zulikhwan Zolhaisam, 21, dan Abdul Rahman Ahmad, 57, yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

"Dekat (menjelang) Raya Haji, ada saja kes hilang lembu. Kamu (tertuduh) bukan curi telefon bimbit, ini curi lembu," katanya ketika menjatuhi hukuman itu.

Tertuduh didakwa mencuri lembu milik Amirul Amin Saharudin, 31, di kandang lembu Permatang Pasir Permai di Melaka Tengah, pada 10 Mei lalu, jam 5.30 petang.

Kedua-dua tertuduh merayu denda rendah dengan alasan tidak berkemampuan, dengan Muhammad Zulikhwan turut menyatakan isterinya sedang berpantang.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Khairunnisak menjatuhi hukuman denda RM3,500 kepada setiap tertuduh atau empat bulan penjara jika gagal membayarnya.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki warga emas berusia 62 tahun dituduh mencabul kehormatan cucu saudaranya di sebuah hotel di Taman Kota Laksama, tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam prosiding didengar Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu dituduh menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa berusia 19 tahun dengan niat mencabul kehormatannya semasa berada di bilik hotel terbabit di Seksyen 2, Melaka Tengah, pada 28 Januari 2023, kira-kira jam 8 malam.

Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa.

Kes ditetapkan untuk sebutan bagi lantikan peguam pada 11 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:23 PM