Fendy Caliph Busker
Fendy Caliph Busker
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Pemain dram kumpulan Caliph Busker, Fendy Adlun, 33, tidak mahu menggunakan kekurangan dirinya untuk mengambil kesempatan terhadap sesama rakan industri. 

Biarpun status Orang Kurang Upaya (OKU) cacat penglihatan, Fendy menyokong konsert artis-artis tempatan termasuk membeli tiket Konsert Rock Kapak berharga RM85 yang akan berlangsung di Panggung Asia, Gombak malam ini. 

Konsert terbabit  membariskan tiga kumpulan rock terkenal pertengahan era 1980-an iaitu Desire, Junction dan Meditasi. 

"Saya tak suka ambil kesempatan. Saya mulanya tak tahu nombor yang saya mesej untuk beli tiket konsert itu adalah nombor isteri abang Hatta Junction. Saya tanya berapa harga tiket kerana nak beli dua tiket. 

"Kemudian dia tanya saya dan apabila saya perkenalkan diri, dia beritahu dia isteri abang Hatta. Dia beritahu kami pernah jumpa di Muar dalam satu persembahan. Dia kata segan nak jual kepada saya. 

"Saya cakap tak apa jual sahaja kerana saya sokong sesama artis. Macam abang Hatta kata, mereka band lama buat konsert harga biasa-biasa. Kami Caliph Busker pun dalam kategori band Rahmah jadi kita sokong sesama sendiri," katanya kepada Harian Metro. 

Menurutnya, sebelum ini juga dia pergi menonton Konsert Lagenda Rock Vol. 1 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 Julai lalu. 

"Saya seronok dapat tengok band XPDC, Rusty Blade, Babylon dan May beraksi. Saya tak pernah tengok mereka beraksi live sebelum ini. Apabila ada peluang dan dapat tengok, saya gembira. 

"Macam Konsert Rock Kapak, Harga tiket pun okey jadi saya akan pergi menonton. Saya sebenarnya collector (pengumpul) kaset lama. 

"Saya follow (ikut) mereka dari zaman sekolah lagi. Sekarang saya baru mula kumpul koleksi kaset lama. Saya ada sekitar 100 ke 200 kaset antaranya Junction, Meditasi, CRK dan banyak lagi yang mana boleh dicari," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2023 @ 11:43 AM