Ridzuan Abdul Rahman


   Kuala Lumpur: "Kami rasa bersyukur atas sambutan yang agak hebat ditunjukkan oleh peminat," kata Nasir Daud, pemain bass Search mengenai Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre yang dilanjutkan satu hari lagi menjadikan ia berlangsung selama dua malam iaitu pada 4 dan 5 Jun.

   Menurutnya, 'petaka dunia' atau pandemik Covid-19 yang berlaku selama hampir dua tahun membuatkan semua pihak terkesan. Mereka sudah lama tidak dapat berhibur dan dahagakan hiburan.

   "Rentetan dari pandemik yang kini bertukar kepada endemik inilah buat kami namakan konsert ini sebagai Konsert Endemik. Ia satu suasana yang harus kita syukuri. 

   "Search merancang bersama penganjur LOL Asia dan mereka setuju dengan konsert bertema Endemik. Kami tak terfikir perkara lain kecuali nak buat Konsert Endemik pada 4 Jun.

   "Namun masih ramai lagi nak beli tiket. Jadi, selepas berbincang semula dengan penganjur, mereka setuju nak buat satu malam lagi," katanya kepada Harian Metro.

   Nasir berkata, ia bukanlah satu isu besar kerana Search pernah beraksi selama empat malam di lokasi berprestij Istana Budaya beberapa tahun lalu.

   "Beraksi selama dua malam akan buka ruang lebih luas kepada peminat. Dianggarkan sekitar 5,000 orang boleh datang menonton untuk dua malam.

   "Maklumat dari penganjur menunjukkan penonton dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura turut beli tiket. Mereka dah lama idamkan nak menonton konsert selepas kebenaran diberikan.

   "Kali ini kami lebih fokus kepada lagu-lagu nostalgia lama. Sebabnya kita kena sedar bahawa peminat Search memang ramai sejak empat dekad kami wujud. Mereka rata-rata berusia 40 tahun ke atas," katanya. 

   Menurutnya, muzik adalah satu 'timeline' bagi peminat. Manakala lagu-lagu Search mengembalikan memori ketika mereka sedang belajar di universiti, kolej atau baru mula bekerja.

   "Kita tak boleh syok sendiri kerana main untuk hiburkan peminat. Bila orang bertandang ke rumah kita, biasanya kita akan jamu makanan kegemaran mereka.

   "Kami akan cuba sedaya upaya untuk bagi kepuasan dan kegembiraan buat peminat. Itu yang mereka nak dan bukannya disogokkan dengan lagu yang mereka tak kenal. Kami tak nak buat konsert syok sendiri. 

   "Mereka beli tiket beratus ringgit. Malam itu malam untuk mereka.

Inilah Search yang sebenar. Saya tak pernah dengar orang kata saya Nasir itu atau, ini. Saya dengar mereka sebut Nasir Search, Amy Search, Hillary Search dan Yazit Search," katanya.

   Nasir menjelaskan nama-nama tadi adalah pengasas Search, manakala dia pula co-founder. Seorang lagi anggota iaitu Man Kidal (pemain gitar) pernah bersama Search semasa album pertama. 

   "Saya utamakan legasi kumpulan yang dah nak masuk 50 tahun penubuhannya. Kata penganjur, mereka sedang mengenal pasti lokasi untuk konsert di Utara, Selatan, Pantai Timur dan berkira-kira satu tempat sama ada di Sabah atau Sarawak selepas ini.

   "Zepp Kuala Lumpur adalah lokasi untuk sebuah konsert bertaraf antarabangsa dan bukannya seperti dewan lain yang kita ada. 

   "Tiket untuk malam kedua Konsert Endemik masih dijual. Peminat boleh beli di https://lolasia.bigtix.io/," katanya. 

  Tiket Konsert Search Endemik berharga RM250 (Silver Seats), RM300 (Gold Seats), RM250 (Rock Zone - standing), RM650 (Platinum Seats) dan RM8,000 (VIP Box).

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mei 2022 @ 6:02 PM