Reza Rahadian.
Reza Rahadian.
Agensi

Jakarta: Pelakon Indonesia, Reza Rahadian yang memeluk Islam pada usia 19 tahun mengaku menemui jalan perdamaian selepas mempelajari agama Islam.

Reza berkata, biarpun setiap agama mengajar mengenai kasih sayang dan perdamaian, namun Islam disifatkan sebagai agama yang menyempurnakan ajaran itu.

"Saya tidak dapat nak kongsikan sepenuhnya, tapi dalam kehidupan yang saya lalui ini Islam adalah agama yang mendamaikan.

"Betul, sudah tentu agama lain turut mengajarkan kasih, tapi dalam perspektif saya, Islam sangat melengkapinya. Islam begitu menyempurnakan sebuah nilai kasih dan kedamaian," katanya.

Menurut Reza, dia juga menyifatkan pilihannya untuk memeluk Islam adalah jalan terbaik untuk mencari kebahagiaan hidup.

"Saya bingung untuk menjelaskan secara terperinci, tapi pada pandangan saya memeluk Islam itu, (ibarat) memeluk kedamaian.

"Ibu saya pun pernah pesan, pilihlah agama yang saya percaya kerana agama yang dia yakini itu dibawa sejak saya lahir.

"Namun, kalau saya berasa ada keyakinan untuk memeluk agama yang berbeza serta mempunyai kesedaran penuh, ibu saya tidak menghalang," katanya.

Walaupun berbeza agama, hubungan Reza dengan ibunya tetap utuh hingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:24 PM