PEMAIN PDRM dan KAWAT bergambar selepas perlawanan persahabatan. FOTO MALIK MUHAMAD
PEMAIN PDRM dan KAWAT bergambar selepas perlawanan persahabatan. FOTO MALIK MUHAMAD
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Seiring dengan tema, 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada'.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin bersama anak buahnya turun padang beraksi dalam perlawanan persahabatan bola sepak menentang Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), di Padang PGA, Gong Badak, petang kelmarin.

Beliau berkata, aksi menentang KAWAT ini adalah lebih kepada kecergasan kepada anggota selain mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kerjasama dengan media.

"Saya berharap kerjasama ini tidak terhenti di sini, sebaliknya perlu ditingkatkan lagi," kata Mohd Khairi yang baharu dilantik sebagai ketua polis negeri ini pada 5 Mei lalu bagi menggantikan Datuk Mazli Mazlan yang bertukar ke agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Sementara itu, Presiden KAWAT, Ahmad Safri Husnaini Mohamad berkata, aksi kedua menentang PDRM itu adalah salah satu aktiviti riadah pengamal media selain sukan lain.

"Bukan kemenangan yang kita cari, tapi perlawanan persahabatan itu lebih kepada merapatkan lagi ukhuwah antara pengamal media dengan pihak PDRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:39 PM