TANGKAP layar video tular menunjukkan pengadil (kanan) cuba mengejar pemain remaja yang memukulnya dari belakang.
TANGKAP layar video tular menunjukkan pengadil (kanan) cuba mengejar pemain remaja yang memukulnya dari belakang.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Kecil-kecil sudah jadi 'gengster'. Itu situasi berlaku dalam Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) di Kubang Pasu yang bertukar kecoh selepas seorang pelajar lelaki dikatakan cuba memukul pengadil perlawanan pada kejohanan itu.

Berdasarkan rakaman video yang tular di media sosial, berlaku pergaduhan antara pemain dua pasukan yang bertanding sebelum seorang pelajar menolak pengadil itu dari belakang secara tiba-tiba.

Situasi bertukar panas apabila pengadil naik berang seterusnya cuba mengejar pelajar itu sebelum beberapa pemain daripada pasukan sama cuba menolak, menyepak dan menumbuk pengadil terbabit.

Bagaimanapun, beberapa individu yang berada di lokasi kejadian berjaya meredakan keadaan dan menenangkan pengadil itu.

Perkara itu mendapat perhatian Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang sedia maklum mengenai insiden terbabit, seterusnya menunggu laporan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk tindakan lanjut.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib KFA, Mohd Farhan Ahmad berkata, JPN Kedah sebagai badan penganjur kepada kejohanan itu akan menyerahkan laporan kepada pihaknya sebelum sebarang keputusan diputuskan.

"Ini memberi kesedaran kepada kita bahawa generasi muda sekarang sangat mudah menggunakan kekerasan tanpa mempertimbangkan kesan terhadap pasukan.

"Pihak Jawatankuasa Tatatertib KFA akan memastikan keputusan yang akan dibuat adalah adil dan saksama.

"Mohon pihak lain tidak membuat apa-apa spekulasi sebelum keputusan diumum," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:10 PM