SYAHIR (berdiri, dua dari kanan) bersama pemain dan pegawai skuad sepak takraw negara selepas menewaskan Thailand, malam tadi. FOTO HAZREEN MOHAMAD
SYAHIR (berdiri, dua dari kanan) bersama pemain dan pegawai skuad sepak takraw negara selepas menewaskan Thailand, malam tadi. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Tekong utama negara, Syahir Rosdi mendedikasikan kejayaan muncul juara acara regu di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 sebagai hadiah buat pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang disimbah asid, 5 Mei lalu.

Jelas Syahir, dia dan rakan sepasukan mengharapkan Faisal atau nama popularnya, Mickey akan cepat sembuh dan kuat menghadapi menghadapi rintangan itu.

"Kemenangan di Piala Dunia ini (acara regu) kami hadiahkan buat Faisal Halim yang sedang berjuang untuk kerjaya dan kariernya. Kami pasukan Malaysia mendoakan agar dia cepat sembuh. We Stand For Faisal Halim," katanya.

Susulan insiden berkenaan, Faisal terpaksa menjalani empat pembedahan berikutan lecuran kulit tahap empat.

Melalui perkembangan terbaharu Faisal, pergerakan tonggak Selangor FC (SFC) itu tidak lagi seperti biasa selepas ini apabila akan dikawal ketat sebaik dibenarkan keluar dari hospital dalam masa terdekat.

Situasi terbabit menyaksikan Faisal tidak akan mudah didekati individu lain bagi memastikan keselamatannya berada tahap optimum susulan kes itu.

Ahli Lembaga Pengarah SFC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, tindakan terbabit sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan pemain itu lebih bersedia bagi mengharungi kejadian terbabit.

Terdahulu, Syahir dan rakan-rakan terpaksa menunggu selama sembilan tahun untuk menewaskan regu Thailand di hadapan ribuan penyokong yang hadir dengan kemenangan 15-8, 15-12 di Stadium Titiwangsa, malam tadi.

Dia turut menghargai sokongan penonton sama ada di stadium atau di rumah yang menyokong tanpa henti.

"Kami tidak sangka akan menang kat sini di Stadium Titiwangsa, stadium keramat, terima kasih kesemua yang datang memberi sokongan termasuk yang berada di rumah kerana tidak jemu-jemu sokong sukan sepak takraw.

"Ini adalah hadiah kami untuk anda semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:19 PM