KUMPULAN Rabbani.
KUMPULAN Rabbani.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Anggota Rabbani, Mohd Nazrul Azhar Tamrin yang meninggal dunia semalam tetap diberikan bayaran setiap kali Rabbani mengadakan persembahan walaupun Allahyarham sudah tujuh tahun direhatkan dari menyertai sebarang acara persembahan akibat masalah kesihatan.

Ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, Allahyarham turut tidak ketinggalan menerima wang agihan royalti.

"Sebelum ini, sepanjang Allahyarham direhatkan, kami tetap memberikan wang bayaran persembahan yang kami hadiri kepadanya," katanya.

Mohd Nazrul yang sudah lapan tahun mengalami masalah buah pinggang meninggal dunia di kediamannya di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor jam 4.40 petang semalam.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul 'Aliyah Saujana Utama, Sungai Buloh kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Mohd Nazrul adalah anggota Rabbani ketiga meninggal dunia selepas penyanyi utamanya, Asri Ibrahim 15 tahun lalu akibat serangan jantung dan diikuti Azizan Halid pada 2021 akibat Covid-19.

Bercerita mengenai kenangan bersama tiga rakan yang sudah menghadap Pencipta itu, Azadan berkata, masing-masing mempunyai peranan penting dalam kumpulan nasyid yang ditubuhkan sejak 27 tahun lalu itu.

"Pemergian Ustaz Asri adalah satu kehilangan besar buat kami kerana dia bertindak sebagai ketua kami selama ini. Arwah boleh dianggap sebagai ayah atau abang sulung kami. Personalitinya cukup disenangi kerana sangat peramah, pemurah dan penyayang. Arwah juga tegas dalam hal bekerja dan bijak mengatur tugas buat semua anggota Rabbani.

"Bagi arwah Azizan pula, walaupun dia memilih untuk tidak bersama Rabbani tapi hubungan kami rapat. Selalulah kami berjumpa dalam acara-acara keagamaan. Arwah juga cukup dikenali sebagai individu yang peramah dan mudah disenangi.

"Arwah Nazrul pula, peranannya dalam kumpulan Rabbani amat penting kerana dia akan menjaga emosi dan menjadi pemudah cara untuk setiap kerja yang ingin dilakukan. Malah, arwah juga cukup ringan buat kerja dan tidak pernah marah atau merungut," katanya.

Dalam pada itu, Azadan berkata, mereka belum ada sebarang perancangan untuk menghasilkan lagu baru atau mengadakan konsert tribute bagi mengenang mereka bertiga.

"Setakat ini kami belum ada sebarang lagu khusus untuk mengenang anggota Rabbani yang sudah meninggal dunia. Cuma sekarang ini kami sedang merancang untuk mengadakan konsert besar tahun ini yang diberi nama Konsert Intifada Rabbani 2024 yang menekankan solidariti buat Palestin.

"Mungkin dalam konsert itu nanti kami akan mengadakan satu segmen khas buat mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 3:08 PM