Syafiq Yusof
Syafiq Yusof
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pengarah Abang Long Fadil 3, Syafiq Yusof bersyukur filem itu sudah meraih kutipan RM18 juta selepas 11 hari ditayangkan dan hampir melepasi kutipan Abang Long Fadil 2 iaitu RM18.4 juta.

Justeru, Syafiq berharap kutipan itu semakin meningkat dan tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah kutipan kerana mahu masyarakat Malaysia terus menyokongnya.

"Saya amat bersyukur atas kutipan sangat memberangsangkan ini. Saya harap lebih ramai datang tengok dan netizen rata-rata suka sangat dengan filem ini. Tujuan saya buat filem ini supaya penonton bergelak ketawa, bergembira, di pawagam.

"Saya harap yang sudah tengok boleh beritahu kawan-kawan dan kenalan mereka pergi tonton. Harap yang suka sangat filem ini, boleh ulang tonton lagi. Semoga filem ini dapat ditonton lebih ramai masyarakat Malaysia.

"Tiada sasaran kerana sasaran awalnya memang untuk lepasi kutipan Abang Long Fadil 2 iaitu RM18.4 juta. Tapi sekarang ini, sudah sangat hampir untuk melepasi dan saya sangat bersyukur. Alhamdulillah," katanya.

Filem Abang Long Fadil 3 menyaksikan Fadil kembali dengan misi terbaru yang lebih berprofil tinggi.

Fadil perlu menjatuhkan konspirasi jahat Chow Han, namun dalam pada yang sama Fadil diburu oleh King Cobra atas dendam dahulu.

Abang Long Fadil 3 menampilkan lakonan Zizan Razak dan Johan Raja Lawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 3:26 PM