Syafiq Yusof ketika malam gala filem Sheriff di GSC Mid Valley. FOTO AZIAH AZMEE
Syafiq Yusof ketika malam gala filem Sheriff di GSC Mid Valley. FOTO AZIAH AZMEE
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Filem Sheriff: Narko Integriti arahan Syafiq Yusof terus mencetus fenomena dan mencatat rekod luar biasa apabila berjaya mencatat kutipan sebanyak RM16.3 juta sehingga semalam.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam ketika dihubungi sangat bangga dan bersyukur dengan kejayaan filem arahan anaknya itu.

"Ini rezeki yang dikurniakan Allah kepada kami. Syafiq adalah pengarah yang tekun dan matang walaupun usianya masih muda. Dia sangat 'detail' (terperinci) dalam kerja pengarahan dan skrip.

"Ia kejayaan paling maksimum untuk Syafiq selepas dia berjaya menerusi filem Abang Long Fadil 3 (kutipan RM25juta), Polis Evo 3 (RM54 juta) dan terbaru, Sheriff," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas dakwaan filem Sheriff yang mengatasi kutipan hari kedua tayangan filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan arahan seorang lagi anaknya, Syamsul, Yusof berkata, kedua-dua anaknya itu adalah permata hatinya dan keluarga.

"Selepas kejayaan Syamsul dengan Mat Kilau, Syafiq pula menyusul dengan karya-karyanya yang hebat.

"Bagi saya, filem Sheriff adalah satu anjakan paradiqma untuk Syafiq dan Skop Productions Sdn Bhd yang sudah 40 tahun bertahan dalam industri perfileman tanah air.

"Semoga kedua-dua anak saya terus istiqamah dan jangan anggap diri mereka yang terbaik. Ingatlah kepada Allah dan keluarga, Insya-Allah hidup mereka akan diberkati-Nya," katanya.

Ditanya sasaran kutipan filem Sheriff pula, kata Yusof, dia juga tidak meletakkan sebarang sasaran.

"Pihak kami tidak meletakkan sasaran dari segi kutipan. Biarlah masa dan keadaan yang menentukannya nanti.

"Jutaan terima kasih atas sokongan penonton yang beri maklum balas yang cukup baik pada filem itu.

"Pihak kami juga mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang banyak memberi nasihat dan kerjasama serta keterbukaan dalam menghasilkan filem ini," katanya.

Terdahulu, filem genre aksi thriller Sheriff terbitan dua syarikat gergasi, Skop Productions dan Astro Shaw berjaya mencatat kutipan melebihi RM1 juta menerusi tayangan awal.

Sheriff adalah filem keenam hasil daripada kerjasama bersama Skop Productions selepas Polis Evo 3, Abang Long Fadil 2 dan 3, KL Special Force dan Misteri Dilaila.

Filem yang mula menemui penonton pada 18 April lalu itu dibarisi pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Syafiq Kyle, Datuk Aaron Aziz, Azira Shafinaz dan Elizabeth Tan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 4:03 PM