BARISAN pelakon filem Abang Long Fadil 2 yang hadir pada malam gala preview  di GSC Pavilion.
BARISAN pelakon filem Abang Long Fadil 2 yang hadir pada malam gala preview di GSC Pavilion.
YUSOF (empat dari kanan) dan Syafiq (tiga dari kanan) bersama pelakon filem Abang Long Fadil 2. FOTO Arkib NSTP
YUSOF (empat dari kanan) dan Syafiq (tiga dari kanan) bersama pelakon filem Abang Long Fadil 2. FOTO Arkib NSTP
HM Digital

Kuala Lumpur: Penerbit filem Abang Long Fadil 2, Datuk Yusof Haslam tidak sangka filem arahan anaknya, Syafiq itu mencatat kutipan RM17.9 juta, sekali gus menjadikan ia sebagai filem tempatan paling laris.

Filem terbitan Astro Shaw dan Skop Productions lakonan Zizan Razak, Datuk AC Mizal, Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Achey Bocey dan Wak Doyok mencatat kutipan sebanyak itu dalam tempoh 39 hari tayangan di 77 pawagam seluruh negara.

Pencapaian itu turut menyaksikan Abang Long Fadil 2 berjaya memecahkan rekod yang dipegang filem Polis Evo sebanyak RM17.8 juta pada 2015 dan The Journey sebanyak RM17.3 juta pada 2014.

Yusof ketika dihubungi berkata, beliau tidak meletakkan ramalan atau sasaran kutipan tertentu sewaktu menghasilkan filem berkenaan, cuma berdoa ia mampu membawa pulangan yang bagus.

Beliau juga mengakui proses pembikinan memainkan peranan penting jika mahu mendapat sokongan daripada penonton tempatan.

“Filem ini membuktikan karya tempatan masih kuat pengaruhnya dan ramai penyokong. Bagaimana pun, kita harus akur bahawa penonton kita pun memilih juga.

“Saya bersama anak Syamsul dan Syafiq sentiasa berusaha mengkaji, berhati-hati dan memberikan yang terbaik dalam proses membikin filem. Selebihnya, kami serahkan kepada ketentuan rezeki daripada Allah,” katanya.

Faktor menitikberatkan segala aspek juga menjadi fokus beliau dan anaknya selama ini bagi memastikan filem dikeluarkan berada pada tahap kualiti terbaik.

Dalam perkembangan lain, Yusof tidak menolak kemungkinan akan menghasilkan sekuel ketiga filem berkenaan.

“Insya-Allah, jika tiada halangan kami akan menerbitkan Abang Long Fadil 3. Ia dijangka akan memulakan penggambaran pada Mei atau Jun tahun depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2017 @ 6:43 AM