Salamiah dan bersama suaminya, Gerry. FOTO Instagram atiliaharon
Salamiah dan bersama suaminya, Gerry. FOTO Instagram atiliaharon

Kuala Lumpur: Perkenalan selama 15 tahun sebagai kenalan biasa akhirnya menyatukan penyanyi terkenal Salamiah Hassan dengan suaminya, Gerry Hughes yang menetap di Australia.

Selepas lebih 35 tahun hidup bersendirian, penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu Gelombang ini kembali bergelar isteri hari ini.

Salamiah, 71, dan Hughes, 68, disatukan sebagai suami isteri dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di Burnie, Tasmania, Australia.

Majlis terbabit dikendalikan oleh seorang jurunikah yang berasal dari Malaysia.

Menurut Salamiah kepada sebuah portal berita tempatan, daripada hubungan biasa, ia menjadi lebih serius sehingga kedua-duanya sepakat untuk membawa hubungan persahabatan ke fasa yang lebih serius.

"Semuanya berlaku sangat pantas. Selepas berbincang dari hati ke hati serta mengambil kira pandangan seluruh ahli keluarga, kami memilih disatukan sebagai suami isteri.

"Alhamdulillah, semua urusan berjalan lancar dan dipermudahkan. Saya bersyukur Allah menemukan saya dengan seorang lelaki yang budiman selepas sekian lama saya bersendirian," katanya.

Salamiah berkata, dia akan menetap di Australia bersama suaminya selepas ini.

"Saya sudah ada tanggungjawab baru di Australia, saya harus berada di sisi suami saya. Namun, Malaysia sentiasa kekal di hati, saya pasti akan berulang-alik antara Malaysia dan Australia," katanya.

Dia juga mengakui selama hidup bersendirian selepas berpisah dengan suami pertama, beliau tidak pernah terfikir akan kembali menjadi isteri orang.

Ibu kepada penyanyi terkenal, Atilia ini menjelaskan urusan jodoh dan pertemuan diserahkan kepada Allah termasuk pertemuannya dengan Hughes yang berasal dari Liverpool tetapi kini menetap di Australia.

"Alhamdulillah, saya ditemukan dengan seorang lelaki yang baik. Yang penting anak-anak dan ahli keluarga saya menerima kehadirannya dengan baik. Begitu juga dengan keluarga Hughes juga sangat menyenangi saya.

"Saya berdoa kepada Allah agar segala urusan saya dan suami dipermudahkan," katanya yang turut mempunyai seorang lagi anak lelaki, Raja Ahmad Shah.

Sementara itu, dalam catatan terbaharu di Instagram miliknya, Atilia turut berkongsi foto pasangan pengantin itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 7:36 PM